Dakwaan Arab Saudi rancang lesenkan jualan alkohol tidak benar - Sumber

Kedutaan negara bukan Islam tidak lagi dibenarkan mengimport alkohol dan barangan lain menerusi penghantaran diplomatik.
Kedutaan negara bukan Islam tidak lagi dibenarkan mengimport alkohol dan barangan lain menerusi penghantaran diplomatik.
A
A
A

SHAH ALAM – Dakwaan beberapa media asing bahawa Arab Saudi merancang untuk melesenkan penjualan alkohol mulai 2026 adalah tidak benar dan palsu.

Menurut sumber kerajaan Arab Saudi, dakwaan tersebut tidak mempunyai sebarang pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan dan tidak mencerminkan dasar atau peraturan sedia ada di negara itu.

Memetik laporan Arab News, sumber itu memaklumkan bahawa Arab Saudi, di bawah visinya yang bercita-cita tinggi untuk membangunkan sektor pelancongan, tetap komited untuk menawarkan pengalaman unik serta pendekatan berasaskan kebudayaan.

Pendekatan tersebut juga diterima baik oleh pelawat antarabangsa yang datang untuk menerokai warisan negara itu serta landskap semula jadi yang pelbagai.

Berhubung peraturan berkaitan alkohol untuk diplomat bukan Islam, sumber turut menjelaskan bahawa Arab Saudi telah memperkenalkan satu rangka kerja baharu yang bertujuan menghalang penghantaran barangan tersebut tanpa kebenaran.

Di bawah langkah baharu itu, kedutaan negara bukan Islam tidak lagi dibenarkan mengimport alkohol dan barangan lain menerusi penghantaran diplomatik.

Bagaimanapun, akses terkawal kepada barangan berkenaan masih dibenarkan di bawah garis panduan kawal selia yang ketat bagi mengelakkan penyalahgunaannya.

Sumber itu turut memaklumkan bahawa sektor pelancongan Arab Saudi mencatat pertumbuhan ketara pada 2024, dengan kehadiran 29.7 juta pelancong antarabangsa – peningkatan lapan peratus berbanding 27.4 juta pada 2023.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, jumlah perbelanjaan pelancongan domestik dan antarabangsa mencapai 283.8 bilion riyal (RM318.5 bilion), dengan 168.5 bilion riyal (RM189.1 bilion) disumbangkan oleh pelawat asing, sekali gus membuktikan peranan penting sektor tersebut dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!