Netanyahu yakin perjanjian damai bakal tercapai, Arab Saudi menolak

Netanyahu menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian damai dengan saingan serantau, Arab Saudi dapat direalisasikan. Foto Agensi
Netanyahu menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian damai dengan saingan serantau, Arab Saudi dapat direalisasikan. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian damai dengan saingan serantau, Arab Saudi dapat direalisasikan.

“Usaha perdamaian antara Israel dan Arab Saudi bukan sahaja boleh dicapai, malah ia akan berlaku. Saya komited dengan usaha ini dan yakin Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga berazam untuk mencapai matlamat sama.

“Saya percaya kepimpinan Saudi turut berminat untuk merealisasikan perjanjian damai bersama jadi kami akan berusaha sebaik mungkin dan yakin ia akan berjaya,” katanya dalam sidang media bersama Trump pada Selasa.

Arab Saudi bagaimanapun menegaskan bahawa mereka tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selagi negara Palestin belum ditubuhkan.

Kementerian Luar Saudi menyatakan bahawa negara tersebut akan terus berusaha untuk menubuhkan negara Palestin yang merdeka dengan Jerusalem Timur sebagai ibu kotanya dan tidak akan mengiktiraf Israel tanpa pencapaian tersebut.

Arab Saudi juga telah menghentikan perbincangan mengenai usaha untuk memperkukuh hubungan diplomatik ketika konflik Gaza tercetus, malah semakin mengukuhkan pendirian mereka apabila peperangan masih berterusan.

Biarpun Arab Saudi tidak mengiktiraf Israel, mereka telah menjalankan perundingan untuk membina hubungan lebih rapat dengan syarat AS memberikan perjanjian pertahanan serta bantuan dalam program tenaga nuklear awam sejak 2020.

Trump yang ketika itu menjadi Presiden AS memainkan peranan penting dalam memeterai Perjanjian Abraham yang menyaksikan Israel menjalin hubungan diplomatik dengan tiga negara Arab iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Maghribi dan Bahrain.

Selain Trump, bekas Presiden AS, Joe Biden turut menyokong normalisasi hubungan antara Israel dan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!