DPMM belum bersedia saingi JDT

PENGENDALI berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah menyifatkan kehadiran DPMM FC dalam saingan Liga Super 2025/26 tidak akan menggugat penguasaan gergasi LIga Malaysia (Liga-M), Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sebaliknya, Raja Isa menyifatkan kehadiran pasukan dari Brunei itu atas slot pasukan jemputan satu petanda positif, namun masih belum layak untuk mencabar dominasi Harimau Selatan.
“Ini kerana untuk menyaingi kelab seperti JDT, mereka perlu melakukan transformasi total bukan sekadar dari segi fasiliti, tetapi juga dari sudut struktur organisasi, falsafah permainan dan budaya kerja.
“Kecuali DPMM sanggup melakukan perubahan 360 darjah termasuk menambah baik infrastruktur setaraf JDT dan dipimpin oleh individu seperti pemilik Harimau Selatan, Tunku Mahkota Ismail atau sekurang-kurangnya pasukan profesional yang mempunyai formula pembangunan luar biasa.
“Malah saya juga percaya bahawa DPMM masih belum bersedia untuk mencabar pasukan Liga Malaysia lain seperti Selangor FC atau Kuching City,” katanya.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebelum ini mengumumkan DPMM akan beraksi saingan Liga Super 2025-26 sebagai kelab jemputan selepas mendapat kelulusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka bermula Ogos depan.
INFO
PASUKAN LIGA SUPER 2025/26
1. Johor Darul Ta'zim (JDT)
2. Selangor FC
3. Terengganu FC
4. Sabah FC
5. Penang FC
6. Kuching City FC
7. Sri Pahang FC
8. Negeri Sembilan FC
9. Melaka FC (Lesen Kebangsaan Luar Biasa)
10. Imigresen FC (Lesen Kebangsaan Luar Biasa)
* Kelab ini memenuhi semua enam kriteria digariskan Peraturan Pelesenan MFL Edisi 2024-2025 membabitkan sukan, infrastruktur, personel dan pentadbiran, perundangan, kewangan serta perniagaan.
11. Kuala Lumpur City FC (Lesen bersyarat)
12. Kelantan Darul Naim FC (Lesen bersyarat)
13. PDRM FC (Lesen bersyarat)
* Kuala Lumpur City FC, Kelantan Darul Naim FC dan PDRM FC diwajibkan menyerahkan maklumat kewangan tambahan berdasarkan Peraturan Pelesenan MFL Edisi 2024-2025 sebelum 31 Mei ini atau lesen berisiko ditarik balik
14. DPMM FC (kelab jemputan)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
