Gergasi liga Turkiye tagih aura legenda United kembalikan kegemilangan

KELAB Super Lig Turkiye, Besiktas Jimnastik Kulubu (BJC) melantik bekas pengendali dan penyerang Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Black Eagles itu.
BJC mengumumkan bekas pemain dari Norway berusia 51 tahun itu bersetuju dengan perjanjian sehingga akhir musim depan, dengan pilihan untuk dilanjutkan selama setahun lagi.
"Kami percaya Ole Gunnar Solskjaer akan memberikan sumbangan besar kepada kemajuan kelab BJC, dan kami sangat mengalu-alukannya ke dalam keluarga BJC, mendoakan kejayaan yang cemerlang," kata BJC dalam satu kenyataan.
Sebagai rekod, BJC merupakan pengurusan pertama Solskjaer sejak dipecat Manchester United pada 2021.
BJC yang telah memenangi gelaran Super Lig Turkiye sebanyak 16 kali, kini berada di tempat keenam dalam liga.
Gergasi Turkiye itu dikendalikan sementara Halim Okta, tanpa pengendali tetap sejak Giovanni van Bronckhorst tidak lagi menguruskan Black Eagles pada November lalu.
Terkini, BJC yang menjadi tuan rumah kepada Samsunspor di Stadium Tupraş sekadar terikat tanpa jaringan pada Ahad, akan berdepan kelab La Liga Sepanyol, Athletic Bilbao dalam Liga Europa pada Rabu diikuti ke Antalyaspor untuk aksi Super Lig minggu depan.
Besiktas berada di tempat ke-28 dalam kedudukan Liga Europa, satu mata dari tempat play-off, dengan dua perlawanan berbaki untuk bermain dalam fasa liga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
