Real Madrid era Alonso

XABI Alonso secara rasmi mengumumkan permulaan satu era baharu ketika diperkenalkan sebagai pengendali baharu Real Madrid di pusat latihan Valdebebas.
Bekas pengendali kelab Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen, berusia 43 tahun itu dilantik mengemudi kelab gergasi Sepanyol tersebut dengan kontrak selama tiga tahun, menggantikan Carlo Ancelotti yang akan mengambil alih jawatan ketua jurulatih pasukan kebangsaan Brazil.
Musim lalu menyaksikan kempen yang mengecewakan buat Real Madrid apabila kehilangan kejuaraan La Liga kepada Barcelona, tewas kepada seteru tradisi itu dalam perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol dan Piala Super Sepanyol, serta tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara selepas kecundang kepada Arsenal pada suku akhir.
Namun, Alonso tampil dengan penuh keyakinan, menyatakan bahawa pelantikannya menandakan satu permulaan baharu buat Los Blancos.
“Ia adalah permulaan kepada satu era baharu. Penyokong Real Madrid teruja untuk memulakan era baharu ini, untuk berkembang serta menambah kemegahan sejarah kelab ini.
“Ia merupakan hari yang istimewa, satu tarikh yang akan kekal dalam kalendar hidup saya. Saya sangat gembira berada di sini, di tempat yang saya anggap sebagai rumah sendiri,” katanya.
Bekas pemain tengah Sepanyol itu, yang merangkul kejuaraan liga dan piala berganda bersama Bayer Leverkusen pada musim 2023/24, turut menjelaskan keputusannya untuk kembali ke Santiago Bernabéu selepas 11 tahun meninggalkan kelab sebagai pemain.
“Kita memiliki pemain-pemain yang hebat, satu pasukan dengan potensi besar, masa kini yang cemerlang serta masa depan yang cerah.
“Itu memberikan saya dorongan yang besar untuk datang ke sini dengan penuh tenaga dan harapan, agar saya dapat menggilap kemampuan semua pemain serta membentuk sebuah pasukan yang hebat.
“Saya memiliki keyakinan bahawa kami mampu mencapai kejayaan besar – kejayaan yang setimpal dengan nama Real Madrid, dengan segala kejuaraan Eropah yang dimiliki, dan dengan sejarah kegemilangan yang telah dibina sejak sekian lama,” katanya.
Menurut Alonso lagi, beliau mahukan sebuah pasukan yang mampu menyuntik semangat dan emosi kepada penyokong Los Blancos menerusi gaya permainan yang bertenaga dan berdaya saing.
“Saya mahu sebuah pasukan yang mampu menyampaikan emosi, tenaga dan permainan yang bercita-cita tinggi serta membina hubungan yang rapat dengan para penyokong,” katanya.
Alonso turut menzahirkan penghargaan kepada Ancelotti yang pernah mengendalikannya di Real Madrid dan Bayern Munich, serta menyumbangkan tiga kejuaraan Liga Juara-Juara, dua Piala Dunia Kelab dan dua kejuaraan La Liga dalam dua penggal bersama Los Blancos.
“Carlo ialah bekas jurulatih saya, seorang insan hebat dan tokoh berpengaruh besar dalam kerjaya saya. Tanpa sentuhannya, mungkin saya tidak akan berada di sini hari ini.
“Saya mengambil alih tugas ini dan akan meneruskan legasinya dengan penuh penghormatan dan kebanggaan,” kata Alonso.
Sebagai rekod, Alonso dijadual memulakan tugas secara rasmi pada 1 Jun ini, menjelang kejohanan Piala Dunia Kelab anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
