Lelaki ditemui meninggal dunia dalam rumah berkunci

IPOH - Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam rumahnya yang berkunci di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kejadian yang menimpa mangsa berusia 50 tahun itu, dilaporkan oleh salah seorang keluarganya pada 12.04 tengah hari.
"Kami menerima maklumat daripada pihak polis pintu rumah tersebut berkunci, selain melibatkan seorang mangsa yang tinggal bersendirian.
"Anggota yang terlibat telah membuka pintu tersebut menggunakan peralatan khas. Mangsa ditemukan meninggal dunia merujuk kepada keadaan fizikal mangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata pihaknya telah menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
