World #QuranConvention: Ekonomi Islam bukan kejar kemewahan tetapi keseimbangan

KUALA LUMPUR - Objektif bagi golongan yang menjadikan al-Quran sebagai sandaran dalam konteks ekonomi adalah keseimbangan, bukannya kemewahan semata-mata.
Pengarah Bayyinah Institute, Nouman Ali Khan berkata, personaliti pengguna yang mendambakan keseimbangan antaranya bersabar, bersyukur, gemar bersedekah dan saling menjaga antara satu sama lain.
“Apabila seseorang melihat orang lain memiliki keseimbangan dalam hidup, mereka juga menginginkan kehidupan sebegitu.
“Jika dalam fikiran hanya memikirkan kasut, kereta, rumah atau kekayaan seperti orang lain, itu bukanlah keseimbangan, sebaliknya gaya pemikiran ‘Qarun’ atau sikap gilakan kekayaan. Kamu hanya mencipta corak psikologi alternatif.
“Kesimpulannya, Islam bukan kapitalisme, sosialisme mahupun komunisme, tetapi agama yang membawa ketenangan dan tidak memihak kepada mana-mana konsep tersebut. Islam mempunyai falsafah ekonominya tersendiri yang patut dipromosikan sebagai identiti selaras dengan terma ekonomi berasaskan merit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan dalam program ‘Reflecting on The Quran and The Global Economy’ bersama Nouman Ali Khan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah, di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) merangkap Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; bekas Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; dan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Pemilihan Surah al-Saff turut ditekankan dalam World #QuranConvention tahun ini yang bukan sahaja memfokuskan kepada penyelesaian isu ekonomi global, malah merangkumi perjuangan para nabi dalam aspek dakwah dan akidah.
Sementara itu, Nouman turut menyentuh tentang golongan oligarki, iaitu pemerintahan yang dijalankan oleh sekumpulan kecil manusia berkuasa yang menindas golongan bawahan.
Katanya, kumpulan terbabit yang kebiasaannya mengawal undang-undang, disifatkan sebagai tamak, mementingkan diri dan menganggap golongan miskin tiada sebarang nilai.
“Katakanlah ada 0.5 peratus golongan oligarki, apa akan berlaku kepada golongan pertengahan? Mereka mulai mengecil dan kadar kemiskinan meningkat.
“Contohnya, apabila kita memiliki kemewahan melampau, secara semula jadi akan wujud juga kemiskinan melampau.
“Lihat sahaja masyarakat yang berdepan krisis ekonomi teruk seperti inflasi atau kemelesetan hidup — hasil daripada dominasi oligarki ini turut membawa kepada isu riba, kecurian, zina, judi dan banyak lagi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

