Alexander-Arnold terima sorakan gemuruh penyokong Liverpool di Anfield

TRENT Alexander-Arnold menerima sorakan gemuruh daripada penyokong-penyokong Liverpool di Anfield ketika membuat penampilan terakhir dalam satu perlawanan penuh emosi yang menyaksikan pemain itu menitiskan air mata setelah dua dekad bersama kelab kampung halamannya.
Naib kapten Liverpool itu sebelum ini menerima ejekan daripada sebahagian penyokong The Reds dalam perlawanan sulungnya selepas mengumumkan akan meninggalkan kelab pada penghujung musim ini, di tengah-tengah laporan meluas yang mengaitkan perpindahannya ke Real Madrid.
Namun, pemain berusia 26 tahun itu mendapat sokongan padu daripada rakan sepasukan termasuk Andy Robertson dan Mohamed Salah.
Sementara itu, bekas pengendali, Jurgen Klopp, yang memberikan debut kepada Alexander-Arnold pada 2016, turut menyuarakan rasa kecewa dan mendedahkan mematikan televisyen apabila mendengar ejekan terhadap pemain berkenaan.
Cara pemergian Alexander-Arnold, sebagai ejen bebas serta kenyataan yang bercampur-campur mengenai masa depannya, nyata masih menjadi persoalan dalam kalangan penyokong Liverpool.
Malah, pemain The Three Lions tersebut sendiri mengakui berasa bimbang sebelum turun beraksi dalam perlawanan berkenaan.
“Saya tidak tahu apa yang perlu dijangkakan apabila melangkah masuk ke Anfield selepas apa yang berlaku beberapa minggu lalu, tetapi saya hanya mahu bermain sekali lagi untuk kelab ini,” katanya.
Kemasukan beliau pada separuh masa kedua mengantikan Conor Bradley disambut dengan sorakan penuh semangat, dan kesungguhannya untuk menamatkan karier bersama Liverpool dengan bergaya amat ketara.
Malah, jika tidak kerana kegagalan Darwin Nunez menyempurnakan peluang, Alexander-Arnold hampir menambah satu lagi bantuan jaringan kepada rekodnya yang mengagumkan.
Beliau tidak dapat menahan sebak ketika wisel penamat dibunyikan dan kelihatan amat terharu apabila sekali lagi menerima sorakan semasa dianugerahkan pingat juara Liga Perdana, sebelum mengangkat tangan dan menumbuk lambang Liverpool pada jersinya.
"Hari terbaik dalam hidup saya. Sambutan yang saya terima amat bermakna bagi saya. Saya telah bermain ratusan perlawanan, tetapi tidak pernah merasai kasih sayang dan keprihatinan seperti ini.
“Dari lubuk hati saya yang paling dalam, saya berharap suatu hari nanti penyokong-penyokong Liverpool akan mengenang segala yang telah saya lakukan untuk pasukan ini,” katanya.
Sementara itu, pengendali Liverpool, Arne Slot turut memuji sambutan penyokong terhadap Alexander-Arnold.
“Mungkin ia turut juga dibantu oleh betapa cemerlangnya separuh masa yang beliau mainkan,” kata Slot.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
