Karathu rai kejayaan Liverpool di Ipoh

Antara momen menarik Karathu bersama ‘Kop End Ipoh’ pada Ahad. Foto Facebook Karathu Maruthaiah
Antara momen menarik Karathu bersama ‘Kop End Ipoh’ pada Ahad. Foto Facebook Karathu Maruthaiah
A
A
A

PENGENDALI bola sepak berpengalaman negara, Datuk M Karathu turut bersama-sama penyokong Liverpool di Ipoh meraikan kejayaan kelab gergasi England itu menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali ke-20.

Karathu yang pernah bergelar pemain kebangsaan sekitar era 1960-an hingga 1970-an, berpengalaman luas membimbing pasukan seperti Perak, Kelantan serta kelab Singapura, Woodlands Wellington FC, menyifatkan sambutan yang diadakan sebagai bukti semangat luar biasa dalam kalangan penyokong The Reds di negara ini.

“Sebagai jurulatih profesional, saya sudah biasa menyaksikan kejayaan dan reaksi para penyokong. Malam tadi, saya bersama ratusan penyokong menghadiri perhimpunan ‘Kop End Ipoh’ untuk menyaksikan perlawanan terakhir Liverpool musim ini serta majlis penyerahan trofi EPL ke-20 kepada kelab itu,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, Peter dan rakan-rakan, yang berjaya menghimpunkan penyokong Liverpool dari pelbagai lokasi bagi memeriahkan acara tersebut.

“Acara pada malam itu cukup meriah. Selain tayangan perlawanan, turut diadakan perarakan trofi menggunakan bas terbuka yang membawa penyokong dan replika trofi mengelilingi bandar raya Ipoh,”katanya.

Bagaimanapun, dalam kegembiraan menyaksikan kejayaan kelab kesayangan ramai, Karathu tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya terhadap perkembangan semasa bola sepak Perak apabila skuad Kejor Yeop Kejor tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Saya berasa sedih apabila memikirkan bahawa penyokong bola sepak Perak tidak akan mempunyai pasukan negeri untuk disokong musim depan,” katanya merujuk kepada penamatan operasi Perak FC akibat masalah kewangan yang diumumkan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!