Jose Mujica, Presiden Uruguay paling 'miskin'

MONTEVIDEO – Bekas Presiden Uruguay, Jose 'Pepe' Mujica yang terkenal dengan gaya hidup sederhana dan digelar 'presiden termiskin di dunia', meninggal dunia pada usia 89 tahun.
Mujica, yang memimpin negara itu dari 2010 hingga 2015, dikenali ramai kerana menolak kemewahan, tinggal di sebuah ladang kecil bersama isteri dan anjingnya serta memandu Volkswagen Beetle berwarna biru langit.
Semasa hayatnya, Mujica menderma sebahagian besar gajinya kepada badan kebajikan dan mengekalkan gaya hidup bersahaja meskipun memegang jawatan tertinggi negara.
Bekas gerila kiri itu disahkan menghidap kanser esofagus pada Mei 2024 dan menjalani rawatan radiasi agresif.
Pada Januari lalu, beliau mengumumkan kansernya telah merebak ke hati dan isterinya, Lucia Topolansky, memaklumkan Mujica sedang menerima rawatan paliatif.
Beberapa bulan lalu, Mujica masih sempat berkempen untuk ‘anak didiknya’, Yamandu Orsi, yang kemudiannya menang pilihan raya Presiden pada November.
"Ini seolah-olah hadiah terakhir buat saya dalam karier politik," katanya kepada AFP selepas keputusan diumumkan.
Ketika pemerintahannya, Mujica mengubah Uruguay menjadi negara paling progresif di Amerika Selatan serta menjadi negara pertama yang membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi pada 2013.
Beliau malah diberi penghormatan apabila satu strain ganja dinamakan 'Mujica Gold', walaupun beliau menganggap ganja sebagai ketagihan yang berbahaya.
Dalam dokumentari Netflix, Mujica mengaitkan pemikiran mendalam dan gaya hidup ringkasnya dengan pengalaman 13 tahun dipenjara sebagai ahli kumpulan gerila MLN-Tupamaros.
"Kami dipenjarakan dan terasing. Untuk terus hidup, kami perlu berfikir dan menilai semula kehidupan," katanya.
Beliau pernah mengkritik pemimpin autoritarian di Venezuela dan Nicaragua yang disifatkannya sebagai "merosakkan perjuangan".
Perjuangan ala 'Robin Hood'
Dilahirkan pada 20 Mei 1935 di Montevideo, Mujica dibesarkan oleh ibunya selepas kematian awal bapanya. Sejak muda, beliau membantu keluarga dengan menjual bunga di pasar.
Walaupun mula berpolitik melalui Parti Kebangsaan konservatif, Mujica menyertai MLN-Tupamaros pada 1960-an, yang terinspirasi oleh revolusi Cuba.
Kumpulan itu melancarkan serangan bersifat ‘Robin Hood’ seperti merompak bank untuk membantu rakyat miskin, sebelum berkembang kepada penculikan dan serangan bersenjata.
Beliau ditangkap empat kali dan dua kali meloloskan diri daripada penjara iaitu termasuk dalam insiden melarikan berpuluh-puluh banduan dari Penjara Punta Carretas yang kini menjadi pusat beli-belah mewah.
Mujica kemudian dipenjara selama 13 tahun dalam tahanan bersendirian hingga dibebaskan pada 1985. Beliau kembali ke politik sebagai Ahli Parlimen dan kemudiannya Senator.
Beliau pernah memegang jawatan Menteri Pertanian sebelum dipilih sebagai Presiden pada 2009.
‘Orang tua gila’ yang disayangi
Walaupun mendapat pujian atas usaha mengurangkan kemiskinan dan mengukuhkan demokrasi, Mujica turut dikritik kerana gagal mereformasi sistem pendidikan serta membendung perbelanjaan kerajaan.
Beliau terkenal dengan kenyataan jujur yang kadang-kala mencetus kontroversi. Pernah satu ketika, mikrofonnya secara tidak sengaja merakamkan beliau menyebut, “Perempuan tua itu lebih teruk daripada si mata satu,” dipercayai merujuk kepada bekas Presiden Argentina Cristina Kirchner dan suaminya.

Selepas tamat penggal presiden, Mujica kembali ke Senat sebelum bersara daripada politik aktif pada 2020 kerana risiko Covid-19 terhadap sistem imunisasinya yang lemah.
Namun, beliau kekal sebagai tokoh berpengaruh dan ladangnya sering dikunjungi pemimpin dalam dan luar negara.
Dalam satu temu bual pada Ogos 2024 bersama The New York Times, Mujica berkata beliau ingin dikenang sebagai 'orang tua yang gila'.
Beliau meninggalkan isterinya, bekas rakan seperjuangan gerila yang dikahwininya pada 2005. Mujica pernah mengakui penyesalan terbesar dalam hidupnya adalah tidak mempunyai anak.
Mujica berwasiat untuk dikebumikan di ladangnya, di bawah sepohon pokok yang ditanamnya sendiri, di sisi anjing kesayangannya, Manuela, yang mati pada 2018. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
