'Signalman' maut digilis lori tipper

Siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh sebelum digilis tayar lori terbabit.
Siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh sebelum digilis tayar lori terbabit.
A
A
A

KUALA LANGAT – Seorang pekerja tapak pembinaan maut selepas digilis lori tipper ketika kerja penambakan tanah dijalankan di Mukim Tanjung Dua Belas, di sini pada Khamis lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira jam 3.35 petang ketika mangsa yang bekerja sebagai signalman dipercayai sedang memberi arahan kepada pemandu lori untuk mengundurkan kenderaan.

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai terjatuh sebelum digilis tayar lori terbabit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut JKKP, maklumat mengenai kejadian itu diterima pada hari yang sama, dan pegawai penyiasat telah dihantar ke lokasi pada keesokan harinya bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati mangsa berada di kawasan titik buta semasa lori sedang mengundur, sebelum terjatuh dan digilis.

“Susulan itu, JKKP Selangor telah mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu kepada majikan bagi menghentikan serta-merta kerja penambakan tanah di tapak pembinaan berkenaan,” katanya.

JKKP turut mengeluarkan Notis Larangan terhadap majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti terbabit serta kawalan pergerakan lori di kawasan tapak.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Artikel Berkaitan:

“Jika disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM500,000.

“Setiap majikan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keselamatan di tempat kerja dan wajib melaksanakan penilaian serta kawalan risiko bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

JKKP menegaskan, kejadian seumpama itu boleh dielakkan sekiranya pihak majikan mematuhi garis panduan penaksiran risiko seperti yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!