Tentera India tembak mati lelaki Pakistan rentas sempadan

Seorang anggota pengawal Pakistan bertugas di Kompleks Koridor Kartarpur Sahib yang terletak di sepanjang sempadan India-Pakistan di Kartarpur pada 22 Mei. -AFP
Seorang anggota pengawal Pakistan bertugas di Kompleks Koridor Kartarpur Sahib yang terletak di sepanjang sempadan India-Pakistan di Kartarpur pada 22 Mei. -AFP
A
A
A

AHMEDABAD – Tentera sempadan India menembak mati seorang lelaki warga Pakistan yang didakwa merentas sempadan antarabangsa dan tidak berhenti apabila ditegur, menurut Pasukan Keselamatan Sempadan (BSF) pada Sabtu.

Insiden tembakan itu berlaku dua minggu selepas India dan Pakistan, yang sering berseteru, bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata selepas konflik selama empat hari yang mengorbankan lebih 70 nyawa akibat serangan peluru berpandu, dron dan artileri.

Menurut kenyataan BSF, pada petang 23 Mei, tentera mereka menemui seorang individu mencurigakan sedang mendekati pagar sempadan yang terletak di luar sempadan antarabangsa di daerah Banaskantha negeri Gujarat.

“Mereka menegur penceroboh tersebut tetapi lelaki itu terus mara ke hadapan menyebabkan mereka melepaskan tembakan,” kata BSF dalam kenyataan rasmi.

Gambar yang dikeluarkan oleh pasukan keselamatan menunjukkan seorang lelaki beruban telah meninggal dunia.

Konflik terbaru antara kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu tercetus susulan serangan ke atas pelancong di wilayah Kashmir yang diuruskan India pada 22 April, yang merupakan serangan paling dahsyat terhadap orang awam di wilayah majoriti Muslim tersebut dalam beberapa dekad. – AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!