Nyawa kekasih gelap isteri melayang di tangan suami

JAKARTA - Seorang lelaki yang dipercayai membunuh seorang pemuda kerana menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya akhirnya berjaya diberkas polis selepas empat minggu melarikan diri.
Suspek, Mito Ardodi, 28, warga Desa Bangkit Jaya, Jirak Jaya, ditahan pada 16 Mei 2025 sekitar jam 5 petang di lokasi persembunyiannya di daerah Cecar, Musi Rawas oleh sepasukan anggota Unit Siasatan Jenayah Tekab 73 yang diketuai Inspektor Rolly Setiawan.
Ketua Polis Balai Sungai Keruh, Inspektor Dedy Kurniawan, ketika dihubungi pada Ahad, memaklumkan bahawa siasatan mendapati motif pembunuhan berpunca daripada dendam peribadi suspek terhadap mangsa, Arbi, 24, yang dipercayai menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya.
“Kejadian berlaku pada 20 April lalu di Desa Gajah Mati, Sungai Keruh. Suspek dikatakan menemui mangsa dan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali menggunakan pisau.
“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya.
Mayat Arbi ditemui oleh orang awam kira-kira jam 2.30 petang pada hari kejadian dalam keadaan terbaring di tepi jalan.
Ketika itu, mangsa memakai baju sejuk berwarna biru dan seluar jean berwarna krim tanpa berkasut. Pemeriksaan awal mendapati terdapat kecederaan ketara pada bahagian kepala mangsa.
Tambah Dedy, suspek bertindak demikian selepas mendapat tahu tentang hubungan sulit isterinya dengan mangsa.
“Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Keruh bersama barang bukti. Kes disiasat di bawah Seksyen 340 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat serta turut dikenakan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 338 dan Seksyen 354(2) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat penganiayaan.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau hukuman mati,” jelasnya.
Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

