Bazar Serambi Teruntum sepi tanpa pengunjung

Tinjauan Sinar Harian pagi semalam mendapati banyak gerai di Bazar Serambi Teruntum tidak beroperasi.
Tinjauan Sinar Harian pagi semalam mendapati banyak gerai di Bazar Serambi Teruntum tidak beroperasi.
A
A
A

KUANTAN - Peniaga dan penyewa premis di Bazar Serambi Teruntum di Tanjung Lumpur di sini meminta pihak pengurusan menyediakan beberapa papan tanda besar di laluan pintu masuk daerah ini sebagai usaha menarik kehadiran orang ramai dan pelancong luar.

Pemilik gerai makan Neknie Corner, Noraini Tab, 54, berkata, pendapatannya pernah merudum kepada kurang RM100 sehari meskipun gerainya beroperasi sejak jam 10 pagi hingga 12 malam.

Menurutnya, hal itu berlaku mungkin kerana pembukaan gerai makan yang menjual aneka juadah di bahagian hadapan Serambi Teruntum, selain kekurangan promosi mengenai kewujudan medan selera di bazar itu.

"Harapan kepada pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan pengurusan agar dapat memperbanyakkan promosi. Saya ada berbual dengan kawan di bandar dan rupanya ramai tak tahu ada medan selera di Bazar Serambi Teruntum.

"Selain itu salah satu faktor mereka tidak masuk ke dalam bazar ini kerana melihat banyak gerai tutup. Saya kira, hal gerai tutup ini juga perlu diambil kira oleh pihak pengurusan," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Bazar perniagaan Serambi Teruntum.
Bazar perniagaan Serambi Teruntum.

Pemilik kedai jahit Noraini's Enterprise, Noraini Abu Talib, 32, berkata, dia yang mula berniaga sejak Disember 2019 mendapati keadaan persekitaran bazar itu suram dengan kebanyakan kedai tidak beroperasi meskipun mempunyai penyewa.

Katanya, dia tidak menafikan usaha promosi telah dilaksanakan pihak berwajib, namun kegagalan penyewa membuka operasi perniagaan perlu diberikan perhatian.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini saya buka kedai jahit di Taman Sepakat di Permatang Badak. Alhamdulillah meskipun pelanggan baru agak kurang namun saya mempunyai pelanggan tetap.

"Pelanggan baru tak banyak walaupun sudah tahun ketiga menyewa di sini. Isu penyewa tutup premis ini juga sudah lama dibawa berbincang dengan pihak pengurusan," katanya.

Noraini masih bertuah kerana mempunyai pelanggan tetap.
Noraini masih bertuah kerana mempunyai pelanggan tetap.

Sementara itu, peniaga sup gearbox Zulkifli Said, 38, pula berharap pihak pengurusan menyegerakan pemasangan papan tanda untuk memastikan pengunjung mengetahui kewujudan medan selera di situ.

"Saya sudah tiga tahun berniaga di sini dan perkara ini kita sudah suarakan lama dahulu namun belum ada kelulusan dan tindakan.

"Bagi saya ia penting untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang adanya medan selera ini," katanya.

Zulkifli di hadapan gerai supnya.
Zulkifli di hadapan gerai supnya.

MPK ambil maklum cadangan peniaga

Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) akan memasang papan tanda arah ke Bazar Serambi Teruntum di lokasi pintu masuk daerah ini bagi mempromosikan bazar itu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awamnya, Norkamawati Kamal berkata, cadangan itu sudah mendapat perhatian pihak MPK dan sedang berada dalam fasa tindakan seterusnya.

Norkamawati
Norkamawati

"Selain pemasangan papan tanda, pelbagai inisiatif lain telah dilaksanakan oleh MPK dalam mempromosi dan menarik lebih ramai pengunjung ke Bazar Serambi Teruntum.

"Ia termasuklah membawa nama-nama perniagaan terkenal seperti Restoran Lemang To' Ki dan membuka peluang kepada penganjuran ekspo serta karnival untuk menjalankan program di pekarangan bazar itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Norkamawati berkata, pihaknya turut memberi galakan kepada pemain industri pelancongan untuk menjadikan Serambi Teruntum sebagai destinasi yang perlu dikunjungi.