427 pelarian Rohingya dikhuatiri maut, bot karam ketika cari perlindungan

Kedatangan musim monsun dengan angin kencang dan laut bergelora menjadikan perjalanan bot pada waktu ini amat berbahaya. -Agensi
Kedatangan musim monsun dengan angin kencang dan laut bergelora menjadikan perjalanan bot pada waktu ini amat berbahaya. -Agensi
A
A
A

DHAKA – Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) pada Jumaat menyatakan kebimbangan berikutan seramai 427 pelarian Rohingya dipercayai terkorban selepas dua bot dinaiki karam di perairan berhampiran Myanmar pada awal Mei ini ketika mereka berusaha mencari perlindungan.

Dua bot tersebut membawa seramai 514 pelarian Rohingya, namun jumlah sebenar masih dalam pengesahan, menurut kenyataan rasmi UNHCR.

Bot pertama yang membawa 267 pelarian dipercayai bertolak dari kem pelarian di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh dan negeri Rakhine, Myanmar.

Bot itu dilaporkan karam pada 9 Mei dengan 66 orang pelarian sahaja terselamat.

Bangladesh kini menempatkan lebih 1.3 juta pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan tentera Myanmar sejak Ogos 2017.

Bot kedua pula membawa 247 pelarian Rohingya yang juga berasal dari kem Cox’s Bazar dan Rakhine tetapi karam pada 10 Mei dengan hanya 21 orang pelarian terselamat.

Kadar kematian dan kehilangan nyawa hampir satu daripada lima orang yang cuba melakukan perjalanan berbahaya di perairan itu menjadikan Laut Andaman dan Teluk Bengal antara kawasan paling berisiko di dunia.

UNHCR turut menerima maklumat mengenai sebuah bot ketiga yang membawa 188 pelarian Rohingya yang ditahan ketika cuba meninggalkan Myanmar pada 14 Mei.

Pengarah Biro Serantau UNHCR bagi Asia dan Pasifik, Hai Kyung Jun, berkata: “Situasi kemanusiaan yang kritikal, diperkukuh dengan pemotongan dana, memberi kesan buruk kepada kehidupan pelarian Rohingya yang terpaksa mengambil risiko tinggi untuk mencari keselamatan dan kehidupan yang bermaruah bagi diri dan keluarga mereka.”

Artikel Berkaitan:

Kedatangan musim monsun dengan angin kencang dan laut bergelora menjadikan perjalanan bot pada waktu ini amat berbahaya, sekali gus menunjukkan betapa terdesaknya mereka yang membuat perjalanan tersebut.

UNHCR menyeru pihak berkuasa di rantau ini dan komuniti antarabangsa untuk mengambil tindakan segera bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang, selaras dengan tanggungjawab kemanusiaan dan undang-undang maritim antarabangsa.

Selain itu, UNHCR turut memohon bantuan kewangan bagi menampung keperluan penting pelarian Rohingya, memandangkan setakat ini hanya 30 peratus daripada dana yang diperlukan telah diterima bagi menyokong pelarian di Bangladesh, India, Indonesia, Malaysia, Thailand dan mereka yang masih berpindah di Myanmar.

Untuk tahun 2025, UNHCR memerlukan dana sebanyak AS$383.1 juta (RM1.7 bilion) bagi melaksanakan program bantuan tersebut.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!