Lelaki parah ditetak bekas suami kekasih akibat cemburu

SUBANG JAYA - Seorang lelaki cedera parah selepas ditetak di kepala oleh bekas suami teman wanitanya dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Puchong Intan di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, mangsa berusia 47 tahun dipercayai diserang oleh tiga lelaki, termasuk bekas suami wanita terbabit dipercayai akibat cemburu.
Menurut beliau, pihak polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita memaklumkan bahawa teman lelakinya telah ditetak pada bahagian kepala.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila suspek bersama dua rakannya datang ke rumah didiami mangsa bersama wanita berkenaan, sebelum menyerang mangsa menggunakan pisau dan batang besi.
"Serangan itu menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala dan badan, sebelum dihantar ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk menerima rawatan. Keadaannya dilaporkan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Wan Azlan, semua suspek dikenal pasti sebagai lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40-an.
Menurutnya, motif kejadian dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga dan perasaan cemburu.
“Usaha mengesan semua suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan cedera parah menggunakan senjata,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau Inspektor G Dinesh di talian 011-3309 4457 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
