Politik dinasti bakal julang kembali aspirasi Tun M, Anwar

Dr Mahathir dan Anwar.
Dr Mahathir dan Anwar.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan pengunduran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dari pentas politik negara tidak akan mengubah apa-apa sekiranya ia benar benar terjadi.

Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, cadangan dikemukakan cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar itu mungkin berasas tetapi pola pembentukan struktur politik negara diasaskan melalui politik dinasti sejak zaman merdeka lagi.

Menurutnya, politik dinasti adalah kesinambungan kuasa politik dipegang seseorang pemimpin itu hasil daripada pengaruh susur galur ahli keluarga mereka yang terdiri tokoh politik berpengaruh, taikun perniagaan dan pemimpin terkemuka masyarakat.

"Tidak ramai menyedari institusi politik negara kita sebenarnya dibentuk berasaskan struktur politik dinasti yang dipilih British pada zaman kemerdekaan negara bagi menjamin kestabilan negara terdiri berbilang kaum.

"Kita ambil contoh perjuangan politik Tun Abdul Razak diwarisi anaknya yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib; Datuk Seri Hishammudin meneruskan perjuangan politik bapanya Tun Hussein Onn; Lim Guan Eng mewarisi perjuangan Lim Kit Siang; Gobind Singh Deo dan Ram Karpal Singh mewarisi perjuangan mendiang Karpal Singh dan kini Dr Mahathir serta Anwar diwarisi anak-anak mereka iaitu Datuk Seri Mukhriz dan Nurul Izzah.

"Justeru, sekiranya Dr Mahathir dan Anwar mengambil keputusan berundur dari arena politik sekalipun, wadah perjuangan mereka masih akan diteruskan Mukhriz dan Nurul Izzah yang kini menjadi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PKR," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Anwar, Dr Mahathir lebih baik berundur'

Bagaimanapun, Shamsul Amri mengakui kejayaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memecah dominasi politik dinasti apabila dilantik Perdana Menteri kelapan dianggap istimewa.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpandangan demikian kerana Muhyiddin merupakan tokoh politik personaliti yang bergantung kepada sokongan rakan-rakan pemimpin politik berpengaruh lain untuk mendaki kuasa.

Shamsul Amri Baharuddin
Shamsul Amri Baharuddin

Sungguhpun begitu katanya, tokoh politik personaliti seperti Muhyiddin dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebenarnya agak sukar mempertahankan puncak kuasa dimiliki mereka kerana faktor penentunya masih ditentukan pemain politik dinasti.

"Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi membuktikan kemungkinan itu apabila pelantikannya itu mengejutkan banyak pihak, namun tidak dapat bertahan lama susulan pentadbiran kerajaan di bawahnya banyak 'dihakimi' pemimpin politik dinasti seperti Dr Mahathir.

"Lagipun, persepsi politik dinasti dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum sudah sangat menebal. Ini dapat dilihat apabila rakyat seolah-olah terkejut dengan pengumuman Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, sedangkan beliau calon berkelayakan," katanya.

Di sebalik persepsi politik dinasti, Shamsul Amri tidak menafikan keupayaan tokoh-tokoh politik personaliti seperti Mohamad Hasan, Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mendaki puncak kuasa politik negara.

"Cuma ekonomi mereka perlu diperkukuhkan bagi menjamin kesinambungan sokongan diterima kerana sekiranya kita amati betul-betul, setiap pemimpin politik dinasti didokong oleh proksi-proksi kewangan penting," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr

Syed Agil Syed Alsagoff
Syed Agil Syed Alsagoff

bersetuju dengan pandangan Chandra, namun menganggap khidmat Dr Mahathir dan Anwar masih ditagih untuk menjadi penasihat kerajaan sedia ada.

Menurutnya, kesanggupan mana-mana pemimpin politik berpengaruh berundur demi melestarikan hala tuju politik negara yang lebih progresif adalah perkara terbaik dan memaparkan sifat mereka sebagai seorang negarawan.

"Sekiranya kedua-dua pemimpin berkenaan undur diri, sistem politik negara tidak akan terkesan kerana parti-parti diterajui mereka seperti PKR dan Bersatu sudah mengalami kematangan dan tidak lagi dibayangi pengaruh Anwar atau Dr Mahathir.

"Saya percaya rakyat pun sudah matang dan menganggap hala tuju masa hadapan politik negara berbanding kemandirian pemimpin politik.

"Mereka mendahagakan bentuk pentadbiran dan polisi baharu kerajaan dan atas sebab itu, keperluan negara melahirkan lebih banyak bakat kepimpinan politik baharu amat didambakan," katanya.