Lelaki samun kedai emas dicekup selepas terjatuh ketika larikan diri

MELAKA - Tindakan nekad seorang lelaki menyamun sebuah kedai emas di Jalan Bunga Raya, di sini pada Khamis, membawa padah apabila dia berjaya ditangkap kira-kira 200 meter dari premis tersebut oleh pekerja sebuah kafe berhampiran.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, suspek berusia 31 tahun turut mencederakan isteri pemilik kedai emas berusia 70 tahun, dipercayai menggunakan tukul besi, sebelum melarikan lima utas rantai emas seberat kira-kira 15.35 gram.
Menurutnya, tindakan suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing itu gagal apabila dia terjatuh ketika melarikan diri ke arah Jambatan Melaka dan berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Selepas menerima laporan kejadian, sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Cawangan D9 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Melaka Tengah bergegas ke lokasi untuk menahan semula suspek.
“Pemeriksaan ke atas suspek menemukan semula rantai emas yang disamun. Bagaimanapun, ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, mangsa yang cedera telah menerima rawatan di Zon Merah, Hospital Melaka dan dilaporkan dalam keadaan stabil. Suspek pula turut menerima rawatan di hospital sama akibat kecederaan pada tangan, kaki dan kepala.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!