SPRM beku aset RM2 bilion milik Tun Daim, siasat harta tak diisytihar di Switzerland, UK

Azam (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis.
Azam (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima maklumat baharu mengenai pemilikan aset bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Che Abdul Daim Zainuddin, keluarga dan proksinya yang tidak diisytiharkan semasa siasatan dijalankan pada tahun 2023.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan telah dijalankan sejak Februari 2023.

Menurutnya, sebanyak lapan kertas siasatan baharu dibuka berdasarkan maklumat terkini daripada agensi luar berkaitan harta pemilikan aset Daim yang tidak diisytiharkan antaranya di Switzerland, United Kingdom dan sebagainya kepada SPRM sebelum ini.

"Setakat ini SPRM telah membekukan aset RM2 bilion milik Daim.

"Kita sekarang sedang berkomunikasi dengan negara luar untuk mendapatkan bahan bukti.

"Jadi aset-aset berkenaan sekiranya benar tidak diisytiharkan adalah merupakan satu kesalahan di bawah akta kami.

"Di sini, walaupun ketiadaan Tun Daim (Allahyarham) lagi, tetapi kita mencadangkan untuk dilucuthakkan kepada kerajaan kerana ini merupakan satu kesalahan dan terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk bersetuju atau tidak," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Khamis.

Azam berkata, pegawai penyiasat SPRM sedang menyiapkan kertas siasatan dengan memanggil saksi untuk memastikan adakah harta berkenaan diperoleh secara tidak betul dan sebagainya termasuk membabitkan proksi dan keluarga Daim.

Jelas Azam, dalam kes ini beliau memberi tempoh selama dua bulan kepada pegawai penyiasat untuk menyiapkan lapan kertas siasatan terbabit.

Pada Februari 2023, SPRM membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemukan dalam Kertas Pandora yang membawa kepada siasatan terhadap Kementerian Kewangan pada masa itu dengan Daim sebagai Menteri Kewangan.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, SPRM mengeluarkan notis kepada Daim pada 7 Jun 2023 yang menghendaki beliau mengisytiharkan semua aset miliknya di dalam dan luar negara secara bertulis dan melalui akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis.

Bagaimanapun, Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dengan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk melengkapkan pengisytiharan aset berkenaan.

Pada 29 Januari 2024, Daim didakwa di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 atas pertuduhan gagal mematuhi notis yang terakhir itu dengan tidak mengisytiharkan kira-kira 70 aset harta dan satu akaun bank.

Selepas ahli perniagaan itu meninggal dunia pada 13 November 2024, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu telah melepas dan membebaskan Allahyarham daripada pertuduhan berkenaan.

Hakim Azura Alwi membuat perintah itu mengikut Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin setelah pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!