Pelancongan halal: Indonesia akui masih ketinggalan berbanding Malaysia

JAKARTA – Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, mengakui Malaysia masih mendahului Indonesia dalam sektor pelancongan halal, khususnya dalam menarik pelancong dari negara Asia Barat.
Menurut beliau, meskipun industri pelancongan halal telah berkembang di beberapa kawasan di Indonesia, namun pelancong Asia Barat masih lebih cenderung memilih Malaysia sebagai destinasi utama mereka.
"Kita perlu beri lebih tumpuan, kerana destinasi pelancongan kita jauh lebih banyak berbanding Malaysia," katanya ketika berucap dalam program Sarasehan Ekonomi Islam Indonesia di Jakarta Pusat, pada Khamis lalu.
Airlangga turut menyatakan bahawa produk makanan dan minuman halal Indonesia sebenarnya telah menembusi pasaran antarabangsa termasuk Brunei, Jepun dan Korea Selatan.
Malah, beliau menjelaskan bahawa Indonesia sendiri turut mempunyai undang-undang khusus mengenai produk halal, berbeza dengan negara lain yang hanya mengawal produk tidak halal.
Justeru, pemimpin Parti Golkar itu yakin bahawa sektor pelancongan halal Indonesia berpotensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong luar, termasuk dari negara-negara Asia Barat.
Sementara itu, Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, menyifatkan industri halal sebagai satu potensi ekonomi yang amat besar untuk negara.
Namun, beliau menekankan bahawa pembangunan industri halal memerlukan sokongan dasar dan peraturan yang kukuh daripada kerajaan.
Sebagai Presiden Ikatan Ahli Ekonomi Islam Indonesia, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar bagi menyokong pembangunan industri halal termasuk pembinaan kawasan industri yang berasaskan konsep halal.
"Masih terdapat beberapa cabaran, namun ia boleh diatasi. Contohnya, permintaan terhadap pelbagai insentif seperti cukai yang sebenarnya kita sedang laksanakan, termasuk juga bentuk insentif lain," jelasnya. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!