Nahas FRU: Ketua Inspektor Kemalangan Udara ketuai pasukan petugas khas

PUTRAJAYA - Ketua Inspektor Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan (MOT), Brigadier Jeneral Tan Chee Kee dilantik sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Siasatan Insiden Kemalangan Maut membabitkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pasukan yang diketuai MOT itu turut dianggotai oleh wakil daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Seri Hasni Mohammad dan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin turut dilantik menyertai pasukan tersebut.
"Profesor Dr Kulanthayan K C Mani @ Subramaniam dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar jurutera bebas, Datuk Foong Choy Chye turut menganggotai pasukan khas itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ujar beliau, pasukan berkenaan akan menjalankan siasatan terperinci terhadap punca kejadian, termasuk mengenal pasti sebarang kelemahan sistemik dari aspek keselamatan jalan raya.
"Selain itu mereka akan menganalisis keberkesanan penguatkuasaan sedia ada serta peraturan dalam industri pengangkutan dan menilai semula garis panduan, infrastruktur, dan penggunaan teknologi keselamatan bagi mencegah kejadian serupa berulang pada masa akan datang," jelasnya.
Insiden pada 8.50 pagi 13 Mei lepas menyaksikan sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki mereka dirempuh sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam.
Dalam pada itu, Anthony sekali lagi menegaskan siasatan yang dijalankan bukanlah untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya untuk mengenal pasti kelemahan sistem sedia ada dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan secara sistematik dan berkesan, demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya khususnya melibatkan kenderaan berat.
"Kementerian akan memastikan bahawa setiap syor dan dapatan yang dikemukakan
akan diteliti secara menyeluruh untuk tindakan susulan di peringkat dasar dan operasi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

