Bukan soal ‘boikot’, ini soal bertahan hidup

KEPUTUSAN beberapa kelab Liga Super yang menyuarakan hasrat menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025–2026 memberi gambaran jelas betapa getirnya cabaran untuk mengekalkan kelangsungan dalam saingan tertinggi bola sepak tempatan.
Pemerhati bola sepak, Datuk Dr Pekan Ramli, menegaskan bahawa pasukan yang dahulunya merupakan gergasi bola sepak negara telah pun memberikan komitmen tinggi dalam mengharungi saingan liga 13 pasukan itu.
“Tak adil kalau kita tuduh mereka berniat ‘boikot’ Liga Super hanya kerana gagal menyaingi atau iri hati terhadap satu pasukan yang mendominasi liga ketika ini.
“Saya percaya pemilik pasukan-pasukan ini tidak berniat sedemikian dan mereka juga pasti tidak gembira dengan tuduhan sedemikian.
“Keputusan untuk menarik diri saya yakin sudah difikirkan semasak-masaknya. Sudah pastilah mereka tidak mahu Liga Super berkubur, walaupun mereka sendiri terpaksa menarik diri.
“Tiada pula kedengaran mereka menghasut pasukan atau kelab lain untuk mengikut jejak langkah mereka dalam memboikot Liga Super,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail, sebelum ini menyindir segelintir pihak yang mencadangkan Liga Super diboikot musim depan.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada beberapa isu yang melanda Liga-M kebelakangan ini, termasuk tuduhan pihak tertentu yang menyatakan bahawa kualiti saingan Liga Super semakin hambar dan tidak kompetitif.
Selain itu, masalah berpanjangan seperti tunggakan gaji turut membelenggu beberapa pasukan, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan terdapat pasukan yang menarik diri daripada menyertai saingan liga musim depan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu turut berpandangan bahawa kelab yang bercadang untuk menarik diri telah bekerja keras dan merasai keperitan yang amat sangat musim lalu, termasuk berusaha sedaya upaya menyelesaikan isu tunggakan gaji masing-masing.
“Mereka (pemilik pasukan) bukan tidak berusaha. Mereka bukan tiada ilmu atau asas dalam bisnes bola sepak. Mereka sedar bahawa melabur dalam bola sepak ini potensi untuk ‘lebur’ sangat tinggi. Kita patut juga ucap terima kasih kerana mereka masih ada ‘passion’ dalam sukan ini.
“Mereka juga bukan calang-calang orang atau buta tanpa ilmu. Ada antara pemilik pasukan tersebut merupakan tokoh korporat dan ahli perniagaan terkemuka. Sudah tentu mereka mempunyai staf atau pegawai yang bijak menyusun strategi perniagaan. Ini adalah kaedah biasa dalam menguruskan sesuatu pelaburan.
“Malangnya, mereka juga terpaksa ‘surrender’ dan akur dengan kegagalan. Dalam hukum bisnes, jika sudah tidak untung, jual semula atau tutup saja perniagaan itu. Jika tidak, ia hanya menambah beban hutang yang berganda. Mereka juga pasti rasa bersalah kepada pemain, pegawai dan keluarga mereka,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!