Guardiola mahu skuad Manchester City lebih kecil elak pemain ‘membeku’

Pep Guardiola - Foto: Agensi
Pep Guardiola - Foto: Agensi
A
A
A

PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola, menyuarakan keinginan untuk bekerja dengan skuad yang lebih kecil musim depan susulan beban emosi yang dirasainya apabila terpaksa menyisihkan ramai pemain cergas daripada aksi perlawanan.

Guardiola yang telah memperbaharui kontraknya hingga 2027 menjelaskan bahawa beliau sudah menyampaikan hasrat tersebut kepada pihak pengurusan kelab.

“Saya sudah maklumkan kepada kelab... Saya tidak mahu biarkan lima atau enam pemain 'membeku' di bangku simpanan. Saya tidak mahu itu berlaku. Jika skuad dikecilkan, saya akan kekal,” tegas Guardiola.

Dalam perlawanan menentang Bournemouth baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan 3-1 buat City, beberapa pemain ternama termasuk Savinho, Abdukodir Khusanov dan Claudio Echeverri tidak tersenarai dalam skuad perlawanan. Turut tersisih ialah pemain muda England, James McAtee dan Rico Lewis.

City kini memiliki 28 pemain dalam skuad utama, tidak termasuk empat pemain yang sedang dipinjamkan ke kelab lain. Dengan nilai pasaran skuad dianggarkan melebihi €1.3 bilion, Manchester City kekal antara pasukan paling bernilai di dunia.

Meskipun mempunyai skuad besar, City pernah mengalami krisis kecederaan serius antara Oktober dan November lalu menyaksikan lima kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan. Sebagai langkah pemulihan, kelab membawa masuk beberapa pemain seperti Omar Marmoush, Vitor Reis, Khusanov dan Nico Gonzalez pada jendela perpindahan Januari.

Namun, Guardiola tetap menekankan pentingnya mengelakkan lebihan pemain apabila semua cergas.

“Apabila tiada kecederaan, mustahil untuk saya beritahu terlalu ramai pemain bahawa mereka tidak akan bermain dan hanya akan menonton dari bangku penonton. Ia menyakitkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, hanya dua pemain utama, John Stones dan Nathan Ake yang masih berada dalam senarai kecederaan.

Guardiola turut menyatakan bahawa jika berdepan masalah kecederaan di masa akan datang, beliau bersedia memanggil pemain dari akademi untuk mengisi kekosongan, berbanding menambah bilangan pemain senior.

“Kami ada pemain akademi yang bagus dan saya tiada masalah menggunakannya,” katanya.

Guardiola dijangka terus mengemudi City dalam misi mempertahankan gelaran Piala Dunia Kelab bulan depan sekali gus menambah koleksi trofi buat kelab sejak menyertainya pada 2016.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!