Muhyiddin hantar senarai anggota Kabinet kepada SPRM, PDRM

Dr Maza bersama Muhyiddin ketika hadir ke rumah Perdana Menteri kelapan itu untuk makan bersama keluarganya semalam.
Dr Maza bersama Muhyiddin ketika hadir ke rumah Perdana Menteri kelapan itu untuk makan bersama keluarganya semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan senarai anggota Kabinet untuk tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, Muhyiddin turut menyatakan bahawa senarai Kabinet itu terdiri daripada mereka yang tidak menipu dalam sijil akademik dan bersih daripada sebarang kegiatan rasuah.

"Apa yang menggembirakan saya, beliau memaklumkan kepada saya insya-Allah, senarai anggota Kabinet beliau nanti mereka yang melepasi tapisan SPRM dan PDRM.

"Saya juga dimaklumkan oleh mereka yang terlibat menguruskan semalam bahawa beliau meminta setiap yang akan menganggotai Kabinet beliau tidak membuat dakwaan palsu tentang sijil yang dimiliki. Setiap orang hendaklah menyatakan sijil pendidikan sebenar yang dia perolehi.

"Saya memberitahu beliau, saya percaya jika anggota kabinet terdiri dari kalangan mereka yang bersih dari korupsi dan berkualiti, insya-Allah itu adalah hujah yang kuat untuk beliau.

"Bertawakkallah kepada ALLAH dan sentiasa memohon pertolongan daripadaNYA," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya di sini hari ini.

Mohd Asri berkata, rakyat inginkan kerajaan yang dianggotai oleh menteri yang jujur, cekap, tidak memusuhi perkara-perkara asas dalam negara terutama Islam dan tidak membuat kenyataan-kenyataan yang memperbodohkan rakyat.

Tambah beliau, rakyat juga memerlukan kehidupan yang aman, ekonomi yang baik dan persekitaran yang selesa untuk meneruskan kehidupan.

Artikel Berkaitan:

"Saya bersama rakyat yang lain menanti berita baik esok hari. Saya menyokong kerajaan yang baik demi kepentingan agama dan negara. Saya bersama bersama rakyat marhaen yang lain, bersedia menyokong, mendokong dan membantu.

"Demikian, saya juga bersedia untuk mengkritik kerajaan jika hal sebaliknya berlaku," ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza itu berkata, beliau telah dijemput untuk ke rumah Perdana Menteri kelapan itu untuk makan bersama keluarganya semalam.

"Sebelum ini pun saya biasa ke sana jika beliau menjemput saya makan bersama keluarga beliau atau berbincang hal-hal tertentu. Saya sampai pada masa yang ditetapkan.

"Kami solat berjemaah terlebih dahulu di ruangan rumah beliau. Isteri beliau juga turut bersama. Beberapa kali saya datang saya dapati beliau sering berjemaah dalam rumah beliau.

"Beliau juga boleh menjadi imam dengan bacaan yang baik. Mungkin kelebihan itu disebabkan latar keluarga beliau," katanya.