BKH ICD, Penang Port jalin kerjasama tingkat kecekapan logistik kawasan utara

BUKIT Kayu Hitam ICD Sdn Bhd (BKH ICD) dan Penang Port Sdn Bhd telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem perdagangan dan logistik di utara Malaysia.
Dua pemain utama dalam sektor logistik serantau ini menjalin kerjasama bagi meningkatkan aliran barangan, menyelaras proses operasi serta membuka peluang baharu kepada komuniti perdagangan tempatan dan antarabangsa.
Penang Port dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerjasama ini turut memperlihatkan usaha untuk memanfaatkan kekuatan dan kepakaran unik kedua-dua pihak, dengan BKH ICD dikenali sebagai fasilitator utama perdagangan rentas sempadan di Bukit Kayu Hitam, manakala Penang Port pula berperanan sebagai pintu masuk pelabuhan utama bagi wilayah utara.
“Antara manfaat kerjasama tersebut termasuk pengurangan masa transit, peningkatan kecekapan operasi dan pembangunan penyelesaian logistik inovatif, yang dijangka memberi nilai tambah kepada perniagaan yang beroperasi di sepanjang Koridor Utara Malaysia.
“BKH ICD memainkan peranan penting dalam menyediakan penyimpanan kawalan kastam, pengendalian kontena dan perkhidmatan pergudangan yang menyeluruh, manakala Penang Port menyediakan akses kepada laluan perkapalan antarabangsa dan menghubungkan industri tempatan ke pasaran global,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
Majlis menandatangani MoU telah dilaksanakan antara Ketua Pegawai Eksekutif BKH ICD, Datuk Seri Dr Michael Tio, dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn Bhd, Datuk Sasedharan Vasudevan.
Melalui pemeteraian MoU ini, kedua-dua pihak menyasarkan untuk membina rantaian nilai logistik yang lebih berintegrasi dan responsif, serta meneroka lebih banyak peluang kolaborasi pada masa hadapan.
Walaupun menjalin kerjasama rapat, BKH ICD dan Penang Port tetap mengekalkan kebebasan masing-masing untuk meneruskan kerjasama lain secara berasingan, sejajar dengan komitmen mereka terhadap persekitaran perniagaan yang dinamik dan berdaya saing.
Kerjasama ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dalam membentuk rangka kerja logistik yang lebih lancar dan saling berhubung, sekali gus dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi serantau dalam jangka panjang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!