Lelaki bunuh pengawal kelab malam 12 tahun lalu akhirnya didakwa

Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, pada Rabu.
Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth, pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pekerja kedai aksesori kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki 12 tahun lalu.

Tertuduh, Ooi Chin Leng, 38, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa membunuh Fouzi Hussen, 24, di Taman Desa Murni, Sungai Dua, di sini, pada jam 5.25 pagi, 24 Januari 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan, jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 kali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, semasa prosiding, Nurameera tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kes ini melibatkan kesalahan bunuh.

Selain itu, beliau turut memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi mendapatkan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh susulan pendakwaan terhadapnya merupakan kes lama dan tertuduh baru ditangkap.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes termasuk mendapatkan profil DNA tertuduh.

Pada 24 Januari 2013, dilaporkan seorang pengawal kelab malam maut selepas ditembak oleh seorang lelaki dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah premis perniagaan di Taman Desa Murni, di sini.

Mangsa, seorang lelaki tempatan, ditemui maut dengan satu kesan tembakan di rusuk kiri pada jam 5.25 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!