Menteri letak jawatan selepas ucapan mengenai beras cetus kemarahan rakyat

TOKYO – Menteri Pertanian Jepun, Taku Eto meletakkan jawatan pada Rabu selepas kenyataannya mengenai beras mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengundi dan ahli Parlimen, sekali gus memberi tamparan baharu kepada kerajaan Perdana Menteri Shigeru Ishiba yang semakin goyah.
Kontroversi tercetus apabila media tempatan melaporkan kenyataan Eto dalam sebuah majlis kutipan dana politik pada 18 Mei lalu, di mana beliau menyatakan bahawa tidak perlu membeli beras kerana menerima pemberian daripada penyokong.
Kenyataan itu mengundang kritikan meluas daripada rakyat yang sudah pun terbeban dengan harga beras yang melonjak tinggi akibat hasil tuaian yang lemah serta permintaan tinggi berikutan ledakan pelancongan.
“Saya telah membuat kenyataan yang amat tidak wajar ketika rakyat sedang bergelut dengan kenaikan harga beras,” kata Eto kepada wartawan selepas menyerahkan surat peletakan jawatannya di Pejabat Perdana Menteri.
Penyiar awam NHK dan beberapa media lain melaporkan bahawa bekas Menteri Alam Sekitar, Shinjiro Koizumi dijangka menggantikan beliau.
Harga beras di Jepun kini mencecah paras tertinggi dalam beberapa dekad iaitu hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu, sekali gus menambah tekanan terhadap pengguna yang selama ini terbiasa dengan deflasi dan pertumbuhan gaji sebenar yang perlahan.
Kerajaan Jepun telah mengambil langkah sejak Mac lalu untuk menstabilkan harga, termasuk melepaskan stok beras daripada simpanan kecemasan negara, namun usaha itu masih belum membuahkan hasil yang ketara.
Parti pembangkang menyelar Eto kerana dianggap tidak peka terhadap penderitaan rakyat, dan turut mengkritik Perdana Menteri Ishiba kerana pada awalnya enggan memecat beliau.
Mereka juga mempertimbangkan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Pertanian itu.
“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas pelantikan beliau,” kata Perdana Menteri Ishiba kepada wartawan selepas menerima peletakan jawatan Eto.
Beliau bagaimanapun belum membuat keputusan berhubung pengganti Eto.
Media sosial pula dibanjiri dengan kemarahan rakyat terhadap Eto dan Ishiba. Seorang pengguna secara sinis mengulas, “Kalau begitu, berhenti sahaja,” merujuk kepada permohonan maaf Ishiba kerana melantik Eto ke jawatan tersebut.
Pengunduran Eto dijangka memberi kesan besar kepada kedudukan politik Ishiba yang kini berada di tahap paling rapuh menjelang Pilihan Raya Dewan Tinggi pada Julai nanti. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

