Terowong dasar laut Pulau Pinang masih relevan

GEORGE TOWN - Projek terowong dasar laut di Pulau Pinang masih relevan dan diyakini mampu memberikan impak positif kepada rakyat serta pembangunan negeri apabila siap kelak.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, reka bentuk baharu projek itu merupakan satu alternatif signifikan kepada kesinambungan dan hala tuju Projek Laluan Ketiga Pulau Pinang atau dikenali sebagai 3rd Link.
Menurutnya, reka bentuk terkini yang dicadangkan mengambil kira aspek kecekapan, kebolehlaksanaan, keberkesanan serta impaknya terhadap sosial dan alam sekitar.
“Ia bukan sekadar infrastruktur semata-mata, sebaliknya dijangka menjadi ikon baharu Pulau Pinang yang turut berpotensi menjadi daya tarikan pelancongan,” katanya di Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Rabu.
Zairil (DAP-Tanjung Bungah) berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Lee Khai Loon (PKR-Machang Bubok) mengenai projek berkenaan serta impak kepada penduduk dan pembangunan negeri.
April tahun lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang masih belum membuat keputusan berhubung cadangan projek terowong dasar laut yang menghubungkan Persiaran Gurney di bahagian pulau ke Bagan Ajam di Seberang Perai.
Beliau berkata, kerajaan negeri masih perlu menunggu cadangan daripada Jawatankuasa Pemandu Pulau Pinang mengenai projek itu.
Mengulas lanjut, Zairil berkata, projek itu juga mampu mengurangkan kesesakan trafik teruk di Jambatan Pulau Pinang dan jalan-jalan akses yang berkaitan apabila aliran trafik tinggi dapat dihuraikan ke laluan terowong.
“Dengan tertumpunya trafik ke jajaran terowong ini, ia secara langsung memberikan manfaat kepada pengguna dan menyokong pembangunan ekonomi yang lebih mampan di negeri ini,” jelasnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri kekal optimis terhadap pelaksanaan projek berkenaan, namun pelaksanaan akhirnya bergantung kepada hasil kajian kebolehlaksanaan yang sedang dijalankan.
“Berdasarkan Perjanjian Induk (Master Agreement) bersama kontraktor, kerajaan negeri berhak membuat keputusan sama ada untuk meneruskan projek ini atau tidak selepas kajian selesai,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Pelan Induk Pembangunan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah diluluskan oleh Lembaga SPPP pada tahun lalu.
Bagaimanapun, cadangan pembesaran Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di bawah pelan induk itu dilaporkan akan melibatkan lokasi cadangan sedia ada untuk pembinaan terowong dasar laut.
Projek terowong dasar sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama merupakan salah satu projek yang terkandung dalam Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PTMP) yang bernilai keseluruhan RM46 bilion.
Terowong dasar laut itu adalah sebahagian daripada pakej projek bernilai RM6.3 bilion.
Ia dicadangkan sebagai penghubung ketiga antara pulau dan tanah besar untuk mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

