Pelajar maut langgar lori buat pusingan U ketika pulang dari kelas memandu

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat.
A
A
A

KLANG - Perjalanan pulang seorang pelajar Tingkatan Lima selepas menghadiri kelas memandu berakhir dengan tragedi apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lori dalam kejadian di Batu 12, Jalan Kapar di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.45 petang.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika remaja lelaki tersebut menunggang motosikal dari arah Kapar menghala ke Jeram, Kuala Selangor.

“Siasatan mendapati, dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang itu, sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan dari arah Kapar membuat pusingan U di lokasi kejadian.

“Mangsa yang menunggang motosikal dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan lori terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

“Siasatan awal mendapati mangsa memiliki lesen L dan kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari kursus memandu di sebuah institut memandu di Klang.

“Semakan juga mendapati lokasi kejadian hanya membenarkan kenderaan ringan sahaja untuk membuat pusingan U. Susulan itu, pemandu lori terbabit telah ditahan sebelum diberikan jamin polis,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!