Tun Ahmadshah bekas TYT Sabah meninggal dunia

Beliau disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini, malam Selasa.
Berita duka itu dikongsikan oleh ahli keluarga Allahyarham menerusi laman Facebook.
Tun Ahmadshah dilahirkan pada 9 Disember 1946 dan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dari tahun 2003 hingga 2010.
Sebelum itu, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong memaklumkan Allahyarham kembali ke rahmatullah pada jam 8.45 malam tadi.
"Kerajaan negeri mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari dan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang selama tempoh tersebut," katanya.
Berita duka itu turut dikongsikan oleh UMNO Sabah yang merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar mereka diberi kekuatan, ketabahan serta keredaan dalam menghadapi kehilangan tersebut.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang soleh," menurut kenyataan yang dikongsikan menerusi laman Facebook UMNOSabah Online.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!