Serahan dokumen kes bekas pengurus Petronas cuba dedah dokumen sulit 16 Jun

Bekas pengurus Petronas didakwa cuba mendedahkan dokumen sulit berkaitan prestasi perniagaan kepada Petros dan mahkamah tetapkan tarikh serahan dokumen Jun depan - Gambar hiasan
Bekas pengurus Petronas didakwa cuba mendedahkan dokumen sulit berkaitan prestasi perniagaan kepada Petros dan mahkamah tetapkan tarikh serahan dokumen Jun depan - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menetapkan 16 Jun depan sebagai tarikh serahan dokumen bagi kes mendedahkan dokumen sulit kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros) membabitkan bekas pengurus Petronas, Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni.

Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan masih ada beberapa dokumen yang perlu disusun.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulhilmi Latif berkata, setakat ini sebahagian sahaja dokumen telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Terdapat beberapa dokumen sulit masih belum diberikan kerana perlu diklasifikasikan semula,” katanya.

Sementara itu, peguam, Fadhli Sutris yang mewakili tertuduh mengesahkan telah menerima 13 dokumen berkaitan kes tersebut.

Pada 18 April lalu, Mohd Khairul Akmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan cuba melakukan pendedahan maklumat iaitu satu dokumen bertajuk ‘Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial’ kepada Petros.

Dokumen berkenaan telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang di sini antara jam 3.19 dan 3.21 petang, 8 Jun 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 203A(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Seksyen 511 pula membawa hukuman penjara tidak melebihi separuh daripada hukuman di bawah Seksyen 203A(1), jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!