Suspek samun guna pemutar skru dicekup

KLANG – Tindakan seorang lelaki menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bandar Botanik, Sabtu lalu membawa padah apabila berjaya diberkas pada hari yang sama, sekali gus membongkar pembabitannya dalam empat lagi kes jenayah sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, laporan mengenai kejadian diterima kira-kira jam 5.35 petang oleh seorang individu.
“Siasatan mendapati ketika kejadian, suspek membawa pemutar skru dan bertindak menghentak meja kaunter di kedai berkenaan.
“Suspek kemudian mengugut dan memaksa mangsa menyerahkan semua wang di mesin daftar tunai. Mangsa yang dalam keadaan ketakutan kemudian menyerahkan semua wang tunai tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berjaya mengesan dan memberkas suspek pada hari yang sama, kira-kira jam 8.25 malam.
“Semakan mendapati suspek merupakan warga tempatan berumur 37 tahun dan memiliki tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
“Selain itu, beberapa peralatan, pakaian dan kenderaan yang digunakan ketika melakukan kegiatan jenayah berkenaan turut berjaya dirampas,” katanya.
Menurut beliau, suspek dipercayai turut terlibat dalam empat kes samun lain di sekitar kawasan Klang Selatan.
“Hasil soal siasat mendapati polis telah menyelesaikan empat kes lain yang mempunyai modus operandi hampir sama di kawasan pentadbiran Daerah Klang Selatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

