X

Kindly register in order to view this article
!

Media sosial gunanya ibarat pisau, kata Khalil Abdul Hadi

Khalil Abdul Hadi
A
A

SHAH ALAM - Tidak dapat dinafikan media sosial memainkan peranan penting sebagai medium penyampaian maklumat pada zaman serba canggih kini apatah lagi capaiannya lebih mudah, pantas dan meluas.

Trend itu membuatkan ramai ahli politik menjadikan media sosial sebagai antara wadah utama untuk berkomunikasi dengan penyokong dan berkongsikan pelbagai perkara termasuklah aktiviti harian, ceramah dan kenyataan berkaitan isu semasa.

Tanpa berselindung, kebanyakan daripada mereka terutamanya golongan muda mengakui medium tersebut begitu penting dalam era masa kini bahkan pemimpin-pemimpin veteran juga kini dilihat semakin aktif ‘berkarya’ di media sosial.

Mengakui kepentingan media sosial, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi bagaimanapun mengumpamakan medium tersebut sebagai pisau.

“Media sosial ini secara umumnya tak kira siapa, memang penting khususnya kepada anak muda. Media sosial ini seperti pisau, kalau kita guna untuk kebaikan, dapat pahala.

“Contohnya untuk pertahankan diri, kegunaan harian tapi kalau kita guna untuk benda haram, ia berdosa, contohnya cederakan orang tanpa sebab. Media sosial ini begitulah sifatnya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, ketika ditanya keberkesanan kempen politik dalam media sosial berbanding kempen secara konvensional, bekas Ketua Pemuda Pas itu beranggapan cara lama lebih berkesan dalam aspek itu.

“Media sosial kita berikan perhatian tapi pada masa sama bila bercakap dari sudut dakwah, kempen politik, masih perlu ada ‘personal touch’ kepada mereka,” katanya.

Beberapa pemimpin besar di Malaysia sering menggunakan media sosial untuk meluahkan pandangan mereka dengan cara tersendiri malah rakyat sudah menghafal cara mereka.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, misalnya dikenali sebagai ‘Raja Troll’ kerana sering memuat naik status menyindir Pakatan Harapan.

Di pihak PH pula, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gemar merakam videonya sendiri dari jarak dekat mengulas isu-isu semasa yang berlaku dalam negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Dari dalam penjara pun boleh berceramah

Najib dominasi media sosial di Malaysia

Modi pemimpin 'paling berkuasa' di dunia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus