Skuad sepak takraw congak strategi ampuh

SKUAD sepak takraw negara perlu mencongak strategi ampuh bagi menyaingi kehebatan dan menyekat dominasi Thailand pada kejohanan akan datang.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengakui banyak kerja rumah buat anak buahnya untuk bangkit selepas dikecewakan skuad Gajah Perang itu apabila terlepas gelaran acara regu berpasukan Piala Asia Kuala Lumpur 2025 pada Ahad.
Malah beliau turut mengakui persembahan yang diperagakan para pemain belum cukup untuk mencabar musuh tradisi itu yang beraksi lebih kemas dan tersusun di setiap posisi.
"Pasukan kita belum cukup baik daripada segi prestasi. Kita perlu melipatgandakan lagi usaha untuk mengekang asakan Thailand.
"Mereka bermain dengan lebih kemas, serangan dan pertahanan mereka lebih padu. Itu yang membezakan kita dan mereka," katanya.
Dalam aksi final di Stadium Titiwangsa itu menyaksikan kemarau 34 tahun berterusan setelah Malaysia tewas 0-2 kepada Thailand.
Kali terakhir skuad regu kebangsaan meraih kejuaraan ialah pada Sukan SEA Manila edisi 1991.
Justeru Ahmad Jais mahu para pemain bekerja lebih keras meningkatkan prestasi menjelang Piala Raja Thai dan Sukan SEA Thailand akhir tahun ini.
"Dalam sepak takraw kita memerlukan kekuatan daripada aspek pertahanan dan serangan yang lebih konsisten. Ia menjadi jurang antara pemain kita dan Thailand," katanya.
Menyentuh mengenai perubahan pemain pada kejohanan akan datang beliau tidak menolak kemungkinan untuk berbuat demikian.
"Kita akan buat sedikit rombakan. Mana-mana pemain tidak disenaraikan pada kejohanan Piala Asia kita akan bawa untuk ke Piala Raja Thai. Sebab kita sedang membuat penilaian barisan pemain untuk disenaraikan pada Sukan SEA nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!