Oryx Stainless buka fasiliti baharu di Johor

KUMPULAN Oryx Stainless (Oryx), salah satu pembekal utama bahan mentah keluli tahan karat kitar semula di dunia yang beribu pejabat di Belanda membuka fasiliti terbaharunya di Johor.
Pembukaan fasiliti berkenaan bukan sahaja melambangkan komitmen Oryx dalam menggabungkan pemuliharaan alam sekitar dengan kecemerlangan industri, malah turut mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai hab strategik untuk pertumbuhan industri mampan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Johor berbangga menjadi hos kepada sebuah fasiliti yang membuktikan tindakan terhadap perubahan iklim, kecemerlangan industri dan pembangunan ekonomi boleh berjalan seiring.
“Dengan kehadiran Oryx Stainless, kita bukan sahaja menyambut peneraju industri hijau antarabangsa tetapi juga rakan sejati dalam perjalanan kita menuju kemakmuran mampan,” katanya.
Terdahulu majlis perasmian bersejarah pada 12 Mei lalu dihadiri kira-kira 200 tetamu termasuk Onn Hafiz, duta asing serta pegawai kanan kerajaan termasuk pihak Berkuasa Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Memuji Oryx atas pembukaan fasiliti terbaharunya itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, Malaysia di bawah Kerajaan Madani telah melaksanakan dasar-dasar khusus untuk memajukan pembangunan industri yang mampan.
“Fasiliti baharu Oryx Stainless di Johor menunjukkan bagaimana kepakaran antarabangsa boleh mengubah landskap pembuatan negara kita.
“Sebagai nama yang dihormati dalam kitar semula keluli tahan karat, Oryx Stainless memperkukuh keupayaan industri Johor dan kedudukan Malaysia dalam ekonomi global.
“MIDA menyokong pelaburan yang menggabungkan inovasi dengan impak alam sekitar yang boleh diukur terutamanya yang mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Oryx Stainless Holding, Tobias Kämmer berkata, Malaysia adalah kunci kepada strategi untuk membawa bahan mentah keluli tahan karat berkualiti tinggi dan jejak karbon rendah lebih dekat ke pusat pengeluaran di Asia.
“Pelaburan kami di Johor bukan sekadar keputusan perniagaan, ia adalah komitmen terhadap kerjasama jangka panjang, pertumbuhan hijau dan kemakmuran bersama.
“Kami berbangga dapat menyumbang kepada visi Malaysia menjadi peneraju global dalam transformasi industri mampan,” katanya.
Pengasas Bersama dan Pengerusi Lembaga Penyeliaan Kumpulan Oryx Stainless, Michael Pawlowski pula berkata, pembukaan fasiliti tersebut tepat pada masa sejajar matlamat alam sekitar Malaysia, menyokong sasaran nasional iaitu pengurangan intensiti karbon sebanyak 45 peratus per Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2030 dan membantu menarik pelaburan hijau berjumlah RM300 bilion.
“Dengan setiap tan bahan dikitar semula dapat menjimatkan sehingga 8.5 tan CO₂, impak tahunan loji ini menghampiri pengurangan 1 juta tan pelepasan karbon.
“Hanya dalam beberapa industri sahaja kadar kitar semula setinggi dalam keluli tahan karat,” ujarnya.
Jelasnya lagi, keluli tahan karat baharu tanpa kehilangan kualiti boleh dihasilkan daripada sehingga 90 peratus bahan yang diproses di tapak ini.
“Prasyaratnya ialah Kitar Semula Pintar seperti yang telah diamalkan oleh Oryx Stainless sejak 1990,” katanya.
Untuk rekod, Oryx merupakan pakar dalam menghasilkan campuran tepat bahan mentah kitar semula untuk pelbagai jenis keluli tahan karat memenuhi keperluan lebih 150 jenis aloi.
Proses tersebut melibatkan analisis, penyimpanan dan penghasilan bahan kitar semula berkualiti tinggi mengikut komposisi metalurgi tertentu.
Ini memastikan kualiti yang konsisten dan mengurangkan penggunaan bahan mentah utama berjejak karbon tinggi seperti feronikel, ferrochrome, dan ferromolybdenum.
Dengan memanfaatkan logistik pintar dan sistem pengeluaran digital, Oryx juga memastikan keseluruhan proses pencampuran adalah se neutral iklim yang mungkin.
Pada masa sama, pembukaan fasiliti Oryx di Johor itu turut memperkasa pembangunan bakat tempatan yang menjadi tonggak utama fasiliti terbabit.
Menurut Oryx, pekerja Malaysia telah menjalani latihan lanjutan di Thailand, mempelajari cara mengendalikan peralatan khusus termasuk pengendali bahan Sennebogen khas pertama di Malaysia.
Bahkan tenaga kerja yang hampir sepenuhnya terdiri daripada komuniti tempatan dijangka meningkat dua kali ganda menjelang pertengahan 2026.
Kerjasama dengan universiti-universiti tempatan juga membuka laluan untuk pelajar kejuruteraan menyertai sektor teknologi hijau yang berkembang pesat.
Seiring dengan permulaan Fasa 1, fasiliti ini akan memproses 150,000 tan keluli tahan karat setiap tahun, menandakan langkah penting ke hadapan dalam pemuliharaan sumber serantau dan pembuatan mampan.
Pelaburan ini menunjukkan bagaimana pertumbuhan industri boleh memacu kemajuan ekonomi dan alam sekitar di Asia Tenggara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

