Imam masjid 'jual' air kolah di TikTok curi tumpuan
KOTA BHARU - Jika sebelum ini tular mengenai pihak yang menjual angin pantai melalui platform TikTok, pada Ahad seorang imam masjid pula mencuri tumpuan warganet apabila memuat naik video menawarkan air kolah kepada orang ramai.
Imam dari Masjid Jamek Muhammadi di sini dalam rakaman tersebut memaklumkan bahawa stok air kolah telah ditambah dan diletakkan di dalam beg kuning.
“Sesiapa yang rindu hendak datang ke masjid, sudah lama tidak datang kerana banyak kerja. Masjid pun tiada buat makan. Siapa yang rindu hendak kulit mereka terkena air kolah masjid, air itu ada di dalam beg kuning, percuma sahaja,” katanya dalam video tersebut.
Video berkenaan telah mencecah lebih 40,000 tontonan di TikTok dan turut dikongsi secara meluas di aplikasi WhatsApp.
Imam Tua II Masjid Jamek Muhammadi, Nik Mohd Afif Azhan Nik Mohd Naidi berkata, kandungan video tersebut dihasilkan oleh beliau sebagai pendekatan mengajak orang ramai mengimarahkan masjid.
“Namun ia dibuat secara gurauan berbentuk sinis. Kita berdakwah secara santai dan alhamdulillah, melihat kepada respons orang ramai, insya-ALLAH, selepas ini lebih ramai yang akan solat berjemaah di masjid,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

