Keletah Hana jadi peneman daki bukit curi tumpuan

SHAH ALAM - Meskipun belum menjengah usia setahun, bayi tular bernama Hana, 11 bulan, sudah mula merasai pengalaman mendaki bukit dan meneroka alam semulajadi.
Keletah Hana yang mencuit hati berikutan sering menjadi peneman ibu bapanya mendaki bukit atau taman riadah di sekitar Lembah Klang berhasil mencuri tumpuan pengguna TikTok sejak tahun lalu.
Bapa angkatnya, Hazwan Harawi, 30, berkata, dia dan isteri, Fatin Sihan, 30, mempunyai minat sama iaitu mendaki bukit dan ia antara gaya hidup yang sudah lama diamalkan sebelum kehadiran Hana.
Menurut pemuda tersebut, sebaik mengambil Hana sebagai anak angkat ketika usianya tiga bulan, dia mula mendedahkan bayi terbabit kepada aktiviti riadah di taman dan hutan dua bulan kemudiannya.
"Kami suami isteri memang suka aktiviti luar, jadi bila ada Hana, kami pun teruskan gaya hidup tapi kali ini dengan dia pula, sudah tentu dengan cara yang lebih selamat.
"Segelintir ibu bapa lebih memilih bawa anak ke pusat beli-belah, tetapi kami suka dedahkan dengan aktiviti di taman, contohnya waktu mula-mula dulu di Taman Saujana Hijau, Putrajaya.
"Apabila video tular, ramai tanya tak takut ke bawa anak masuk hutan bimbang ada gangguan, saya memang amalkan doa dan sapu minyak kasturi kijang pada Hana sebagai persediaan awal, Alhamdulillah setakat ini belum pernah diganggu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ditanya tentang cabaran membawa anak kecil menelusuri hutan, Hazwan memberitahu, dia wajib memastikan kecergasan tubuh badannya berada tahap yang optimum kerana perlu menggalas beg dan barangan keperluan Hana sewaktu mendaki.
Tambahnya, cuaca dan laluan persekitaran kawasan riadah juga antara cabaran terbesar kerana bimbang ia terlalu berbukit serta tidak sesuai untuk keselesaan Hana.
"Kebiasaannya Hana tidur saja di belakang. Kalau kawasan itu ada dahan pokok rendah pun tak sesuai, jadi saya cuba elak. Selain itu, cabarannya ialah Hana sendiri sebab dia pernah meragam, tapi tak begitu kerap.
"Tetapi, Hana selalu meragam disebabkan lapar atau mengantuk sahaja. Jika ada laluan agak tak rata membuatkan dia selalu tersedar daripada tidur, jadi dia akan meragam.
"Ramai cakap Hana jenis yang mudah dibawa ke mana-mana, Alhamdulillah memang dia okay kalau pergi tempat-tempat riadah. Ini juga antara terapi emosi buat anak-anak kecil," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!