Nahas 9 FRU terkorban: Pemandu lori batu bebas dengan jaminan

IPOH - Pemandu lori muatan batu kerikil yang didakwa menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), minggu lalu akan dibebaskan dengan jaminan mahkamah pada Isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin, majikan tertuduh telah membayar wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
"Lelaki terbabit selaku orang kena tuduh (OKT) akan dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebentar lagi," katanya ringkas kepada pemberita.
Pada Jumaat, tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas sembilan pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dia didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian kepada S Perumal, 44; Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 28; di Kilometer 15 Jalan Sungai Manik dalam daerah Hilir Perak jam lebih kurang 9.05 pagi pada 13 Mei 2025.
Hakim Norhamizah Shaiffudin membenarkan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes di mahkamah selesai selain melapor diri di balai polis setiap minggu.
Sebutan semula kes dan lantikan peguam ditetapkan pada 17 Jun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!