Tahanan rumah Najib: KDN laksana keputusan mengikut undang-undang

KULIM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Penjara Malaysia akan melaksanakan sebarang keputusan mahkamah mengikut lunas undang-undang berhubung permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan penjelasan berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut beliau, kuasa pengampunan terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong, manakala tanggungjawab KDN dan Jabatan Penjara Malaysia adalah melaksanakan keputusan berkenaan mengikut tertib perundangan.
"Semalam apabila pembayaran denda RM50 juta dibuat, kami kemudiannya merujuk kepada Peguam Negara kerana arahan pembebasan yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah menunjukkan satu tafsiran yang sedikit berbeza dari sudut undang-undang.
"Apa yang kami lakukan ialah mendapatkan pandangan Peguam Negara supaya terdapat kepastian dari segi pelaksanaannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Semarak Kebudayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di sini pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN:Agong titah tidak sepatutnya timbul kekeliruan isu tahanan rumah Najib
Peguam Negara didesak tarik balik arahan tangguh tahanan rumah Najib - Veteran UMNO
Pemuda UMNO negeri, bahagian lapor polis isu ingkar titah Agong
UMNO, Pas Machang lapor polis isu pengampunan Najib
Keputusan pengampunan mesti dilaksana ikut undang-undang – Ka Siong
BN gesa laksana titah perintah Agong segera
Pada Jumaat, AGC memaklumkan bahawa pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Saifuddin berkata, kementeriannya tertakluk kepada nasihat perundangan yang diberikan oleh Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan.
Menurutnya, kementerian juga telah mengambil langkah sewajarnya untuk melaksanakan apa jua keputusan sama ada yang diputuskan di peringkat Lembaga Pengampunan atau melalui arahan mahkamah.
"Seperti yang kita sedia maklum, terdapat satu pandangan undang-undang yang diberikan oleh Peguam Negara, kemudian ada respons balas daripada peguam Datuk Seri Najib.
"Jika wujud perbezaan seperti itu, sebagaimana nasihat Peguam Negara, pentafsiran yang terbaik hendaklah dibuat oleh mahkamah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

