Kuda Trojan dalam politik Malaysia

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaminkan doa sebelum bergerak ke Istana Negara bagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. -Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaminkan doa sebelum bergerak ke Istana Negara bagi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. -Foto Bernama
A
A
A

APABILA kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas 22 bulan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), banyak pihak mendakwa mereka ada peranan masing-masing dalam keruntuhan dramatik PH itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg — semuanya menyumbang kepada kejatuhan PH pada 23 Februari lalu.

Demikian juga Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Bagaimanapun, watak-watak itu hanya sebahagian personaliti yang terlibat dalam satu plot politik besar-besaran membabitkan begitu banyak watak kecil dan besar yang lain.

Di sebalik nama-nama gergasi politik Malaysia itu, terdapat juga karakter lain yang kehadiran mereka menjadikan 23 Februari 2020 sebagai titik peralihan bersejarah kepada politik Malaysia.

Watak-watak Kuda Trojan yang menyelinap dalam politik Malaysia, khususnya dalam konteks perseteruan antara parti-parti PH dengan UMNO dan Pas, mula timbul ke permukaan setelah begitu lama berada di dasar yang kelam.

Berdasarkan cerita-cerita politik yang rancak dikontruksikan, Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri ketujuh, ternyata telah tersilap perhitungan hingga sanggup meletakkan jawatan. Dr Mahathir sendiri bertanggungjawab menggulingkan kerajaan PH.

Anwar, Presiden PKR, yang dijanjikan jawatan Perdana Menteri bagi menggantikan Dr Mahathir pula gagal membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen yang dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

Blok terbesar pembangkang iaitu UMNO, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama sekutu-sekutu mereka (MCA, MIC dan PBRS) memiliki sekitar 80 kerusi iaitu 36 peratus daripada jumlah keseluruhan ahli Parlimen Malaysia.

Ketiga-tiga blok pembangkang itu mempunyai satu pendirian yang jelas: mereka tidak sanggup dan berasa ‘berdosa’ untuk bekerjasama dengan DAP.

Kesan daripada interaksi, sengketa politik dan trauma masa lalu, DAP terpateri sebagai sebuah parti yang begitu dibenci oleh UMNO, Pas dan GPS. Ketiga-tiga parti dominasi bumiputera itu sanggup menerima Dr Mahathir tetapi tidak sekali-kali DAP.

Punca Dr Mahathir tidak mendapat sokongan yang diharapkan adalah kerana pendirian politik beliau yang fleksibel dan liberal terhadap DAP sejak akhir-akhir ini. Kepada UMNO, Pas, dan GPS, sikap tersebut sebenarnya suatu pengkhianatan besar kepada aspirasi politik parti-parti bumiputera.

Sekiranya Dr Mahathir bersedia meninggalkan ‘perkahwinan yang tidak direstui’ dengan DAP, pemimpin berusia 94 tahun itu tentu akan berjaya mematahkan kemaraan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri sambil terus kekal memimpin Malaysia. Bagaimanapun, reputasinya kelak akan dipersoalkan.

Realistik

Sebenarnya, Muhyiddin, Presiden Bersatu, yang ditakdirkan menggantikan Dr Mahathir merupakan seorang yang amat sederhana dan realistik dari segi pengharapan politik. Beliau menyedari bahawa latar belakang dirinya tidak seperti Najib, anak keluarga bangsawan dan anak bekas Perdana Menteri.Selepas PRU13 pada 5 Mei 2013, Muhyiddin yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri kepada Najib dalam satu pertemuan dengan para pengarang akhbar di Cyberjaya berterus-terang tentang prospek karier politiknya.

Waktu itu, beliau telah empat tahun berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Najib sejak bulan April 2009.

Kata Muhyiddin kepada editor yang bertanya: “Saya ini anak seorang guru agama. Saya rasa apa yang saya capai setakat ini sebagai Timbalan Perdana Menteri (pada tahun 2013) tidak pernah saya bayangkan.”

Soalan itu dikemukakan kerana keputusan PRU13 agak mengecewakan banyak pihak dalam UMNO dan BN.

Rentetan peristiwa yang berlaku kemudian memperlihatkan Muhyiddin disingkirkan oleh Najib daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam rombakan kerajaan pada 28 Julai 2015. Beliau digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Muhyiddin seterusnya dibuang daripada parti oleh Majlis Tertinggi UMNO pada Jun 2016. Alasan utama ialah sikap Muhyiddin yang mempersoalkan peranan Najib dalam skandal 1MDB.

Mahathir dan Muhyiddin
Mahathir dan Muhyiddin

Muhyiddin dan Dr Mahathir kemudian menubuhkan Bersatu dan bergabung dengan Anwar serta parti-parti PKR, DAP dan Amanah untuk membentuk Pakatan Harapan yang mengalahkan BN pada 9 Mei 2018 dalam perhitungan yang dipanggil ‘Ibu Segala Pilihan Raya’.Kemenangan itu tidak besar sangat (113 kerusi tanpa ahli Parlimen Warisan) tetapi euphoria melanda PH, khususnya Bersatu yang bertanding 52 kerusi Parlimen tetapi hanya menang 13 kerusi.

Dalam usaha untuk meningkatkan kekuatan Bersatu dan PH di Parlimen selepas PRU14, Dr Mahathir dan Muhyiddin rela menerima kira-kira 14 orang ahli Parlimen UMNO/BN yang melompat masuk Bersatu.

Ada dalam kalangan ahli Parlimen itu benar-benar ikhlas tetapi beberapa orang menyertai Bersatu bagi menjadi sebahagian daripada ahli Parlimen kerajaan PH dengan pemikirannya adalah komplot untuk melemahkan PH dari dalam. Mereka menjadi Kuda Trojan, seumpama kisah mitologi askar Yunani berjaya menawan kota Troy pada tahun 1184 Sebelum Masihi iaitu sekitar 3,200 tahun lalu.

Heroik

Ada antara mereka yang menyelinap itu merupakan orang yang pernah menjadi menteri dan timbalan menteri dan sanggup berkorban dikutuk, dihina dan dicerca oleh rakan-rakan dalam UMNO semata-mata untuk menyekat Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Punca mengapa Anwar begitu tidak dipercayai oleh kumpulan ini dan Dr Mahathir sendiri kekal misteri. Tersebar desas-desus ada pegawai politik kepada Dr Mahathir bersama sekumpulan kecil aktivis yang merupakan wira tidak didendang menjadi penggerak kepada pergolakan dan pertarungan politik yang terjadi.

Najib, dalam satu laporan beberapa hari lalu, mendakwa tanggal 23 Februari 2020 yang menjadi tarikh ‘Langkah Sheraton’ itu telah berbulan-bulan dirancang. Bagaimanapun, beliau sendiri tidak hadir di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada malam itu. Ertinya, apa yang berlaku itu di luar kawalan Najib.

Menurut beberapa sumber, kerja-kerja heroik yang dijalankan itu sebenarnya telah bermula sejak September 2019 ketika Dr Mahathir melawat Jepun.

Sebelum berangkat ke Osaka pada 5 September tahun lalu, Mahathir diberikan satu dokumen mengenai opsyen politik kumpulan itu yang antaranya menyenaraikan faktor utama kebimbangan mereka iaitu Anwar, dominasi DAP dan hala tuju naratif nasional.

Mengikut plot asal, kumpulan itu berjanji menggembleng sokongan untuk Dr Mahathir dan menafikan peluang Anwar untuk berkuasa. Kongres Maruah Melayu yang kontroversi yang menghimpunkan aktivis Melayu berlangsung sebulan kemudian di Shah Alam pada 6 Oktober, dan ia juga adalah sebahagian daripada plot tersebut.

Plot kisah politik Malaysia setakat ini semakin kompleks, masih kabur bentuk kesudahan dan dimensinya. Namun konsolidasi politik bumiputera amat terserlah.

Dr Mahathir kekal dengan pendiriannya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar selepas sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur pada November tahun ini.

Bagaimanapun, apabila Dr Mahathir diasak oleh para pemimpin PKR dan DAP dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Februari lalu supaya mempercepatkan peralihan kuasa itu, ketegangan tercetus. Kesabaran telah hilang.

Dr Mahathir kemudian memperlihatkan sikap tidak tetap fikiran beberapa kali — mula-mula mahu, kemudian menolak menjadi Perdana Menteri pada 23 dan 24 Februari. Kumpulan itu risau kem Anwar mungkin dapat mengekploitasi keadaan untuk menjatuhkan Dr Mahathir dan menjadi Perdana Menteri.

Ketika situasi itu berlaku, Muhyiddin dirayu supaya bangkit menerima namanya untuk dicalonkan sebagai bakal Perdana Menteri bagi menyelamatkan politik Malaysia dan menyuntik kestabilan.

Muhyiddin, menurut beberapa orang yang rapat, menerima permintaan itu dengan genangan air mata.

Beliau menekankan dalam perutusannya kepada rakyat Malaysia pada 2 Mac 2020, sehari selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di depan Yang di-Pertuan Agong, bahawa dirinya bukan pengkhianat kepada Dr Mahathir.

Malah Najib yang pernah menyingkirkannya daripada UMNO juga memberikan respons dengan menandatangani akuan bersumpah menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Tanpa Najib, Muhyiddin tidak mempunyai cukup jumlah sokongan.

Plot kisah politik Malaysia setakat ini semakin kompleks, masih kabur bentuk kesudahan dan dimensinya. Namun konsolidasi politik bumiputera amat terserlah.

Pembentukan Jemaah Menteri yang reflektif daripada naratif sejarah politik yang berlaku bakal diumumkan oleh Muhyiddin beberapa hari lagi. Anggota Jemaah Menteri itu perlu kuat kerana Muhyiddin tidak mampu melakukan tanggungjawab membina semula Malaysia bersendirian.