Jangan terperangkap drama dalaman calar maruah parti - Arshad Hassni

Arshad Hassni
Arshad Hassni
A
A
A

SHAH ALAM – Semua pihak digesa untuk memberi tumpuan kepada misi sebenar Angkatan Muda Keadilan (AMK), iaitu memperkukuh kekuatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan tidak terperangkap dalam drama dalaman yang mencalarkan maruah pergerakan parti.

Calon Timbalan Ketua AMK Malaysia, Arshad Hassni berkata, usaha lain seperti memenangi hati rakyat dan menampilkan kepimpinan pelapis yang berwibawa turut penting, memandangkan masyarakat terutamanya golongan anak muda sentiasa memerhatikan kematangan AMK dalam mendepani era politik baharu.

“Malangnya, kita masih dilihat tenggelam dalam polemik dalaman yang remeh berbanding menampilkan idea segar, keberanian berpolitik dan strategi ampuh untuk meraih sokongan anak muda menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kita tidak boleh membudayakan politik ‘hati tisu’, di mana sebarang teguran dianggap sebagai serangan peribadi.

“Lebih membimbangkan apabila kritikan terhadap seorang calon dijadikan alasan untuk menunggang nama-nama lain dalam AMK, termasuk pimpinan cabang, semata-mata untuk membina persepsi yang tidak tepat,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendakwa bahawa pemilihan parti diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bertujuan untuk membawa masuk bakat baharu, termasuk Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan dan calon Ketua AMK Malaysia, Kamil Abdul Munim.

Ujar Arshad, sebagai salah seorang pimpinan parti, Rafizi sepatutnya memberi contoh yang baik dengan melontarkan pandangan yang membina serta memberi motivasi kepada ahli parti.

“Beliau juga merupakan pemimpin tertinggi yang telah membuktikan komitmen dan kebolehannya dalam memimpin parti ini ke medan pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

“Maka, sebarang pandangan atau kritikan daripada beliau seharusnya dilihat sebagai satu bentuk dorongan untuk penambahbaikan, bukan disambut dengan kenyataan defensif yang hanya meretakkan perpaduan dalaman AMK,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!