Pelumba negara kuasai saingan

Azroy tampil dalam kelas tersendiri hari ini.
Azroy tampil dalam kelas tersendiri hari ini.
A
A
A

PELUMBA Malaysia menguasai saingan Perlumbaan 1 kelas SS600cc pada aksi pembuka tirai Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2020 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.

Ia boleh dikatakan detik paling bergaya buat barisan pelumba negara apabila menguasai kedudukan tiga teratas pada perlumbaan yang penuh mendebarkan itu.

Azroy Hakeem Anuar yang menggalas cabaran pasukan Boon Siew Honda Racing Team, tampil dalam kelas tersendiri untuk muncul juara dengan catatan masa 21:53.229 saat (s).

Ternyata tuah memihak Azroy selepas pendahulu perlumbaan, Md Adam Norrodin terjatuh pada lap keenam selepas gagal mengawal jenteranya ketika mengharungi satu selekoh di litar sepanjang 5.543 kilometer itu.

Peluang tersebut dipergunakan sepenuhnya oleh Azroy meskipun misinya untuk bergelar juara tidak semudah yang dijangkakan.

Dia perlu berdepan cabaran daripada Ahmad Afif Amran (Yamaha GEN BLU Racing Team) yang suatu ketika selesa memimpin perlumbaan.

Begitupun, Azroy lebih bijak mencuri peluang untuk memintas Afif ketika perlumbaan memasuki lap terakhir.

“Kemenangan ini mungkin rezeki saya. Ia bukan perlumbaan yang mudah dan bacaan suhu litar juga sering berubah-ubah. Ia agak menjejaskan fokus kami untuk memaksimumkan kemampuan jentera.

Artikel Berkaitan:

“Prestasi jentera memang berada dalam keadaan terbaik berbanding ketika sesi latihan bebas semalam,” jelas Azroy.

Pada perlumbaan tersebut, Afif menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 21:53.288s manakala Md Ibrahim Md Norrodin (PACHI ZK Racing) yang merekodkan masa 21:53.532s menamatkan saingan di tempat ketiga.

Malang menimpa Adam pada perlumbaan tersebut apabila terbabas pada pertengahan saingan meskipun dia tidak berdepan cabaran daripada para pencabarnya.

Dia memimpin perlumbaan dengan selesa, namun terjatuh ketika mengharungi satu selekoh sukar di litar berkenaan.

Adam diramal memenangi perlumbaan tersebut berdasarkan prestasi yang dipamerkannya ketika sesi ujian rasmi serta sesi latihan bebas sebelum ini.

Meskipun terjatuh, Adam tetap meneruskan perlumbaan dan sekadar mencecah garisan penamat di kedudukan ketujuh.

Sementara itu, aksi penutup untuk saingan hari ini menyaksikan Perlumbaan 1 kelas ASB1000cc yang berlangsung di atas litar yang basah.

Pelumba Jepun, Yuki Ito yang mengetuai cabaran pasukan Yamaha Racing Team ASEAN, melakar kemenangan pertamanya dalam kelas perdana itu selepas muncul juara dengan catatan masa 28:16.971s.

Tempat kedua menjadi milik pelumba pasukan Yamaha Thailand Racing Team, Apiwath Wongthananon yang merekodkan masa 28:24.580s manakala rakan sepasukannya, Anupab Sarmoon di tempat ketiga dengan masa 28:39.751s.

Juara keseluruhan kelas ASB1000cc musim lalu, Azlan Shah Kamaruzaman (ONEXOX BMW TKKR SAG Team) masih belum menemui rentak apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam dengan masa 29:00.235s.

Rakan sepasukannya asal Jerman, Markus Reiterberger pula menghuni tempat keempat dengan catatan masa 28:44.981s.

Markus yang tampil cemerlang pada sesi latihan bebas semalam mengakui kurang selesa beraksi dalam keadaan litar basah dan ia telah menjejaskan misinya untuk mengulangi kecemerlangan ketika sesi latihan semalam.

Esok mereka akan kembali ke gelanggang untuk mengharungi Perlumbaan 2.