SKMM berhak panggil individu untuk siasatan - Nie Ching

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai kuasa memanggil mana-mana individu bagi merakam keterangan sekiranya terdapat asas untuk menjalankan siasatan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perkara itu dibolehkan walaupun individu yang menjadi sasaran tidak membuat laporan berkaitan penyalahgunaan kemudahan rangkaian internet untuk menyebarkan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.
“Dalam kes membabitkan pempengaruh media sosial, Aliff Ahmad, tidak semestinya Nurul Izzah Anwar yang membuat laporan. Mungkin laporan datang daripada individu lain.
“Jika SKMM merasakan ada keperluan, mereka berhak mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terhadap individu terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat (PMR) @ Dewan Serbaguna PPR Sri Stulang di sini pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng.
Pada 25 April lalu, Aliff dipanggil SKMM untuk memberi keterangan berhubung satu hantaran di Facebook berkaitan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar.
Sabtu lalu, SKMM dilaporkan menggeledah premis milik Aliff dipercayai berhubung siasatan kandungan yang menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja).
SKMM melalui kenyataan mengesahkan pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap premis milik pempengaruh itu bertujuan mendapatkan keterangan lanjut berhubung siasatan dijalankan ke atasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

