Hampir RM800 juta lesap akibat penipuan dalam talian - Nie Ching

Kes penipuan dalam talian membabitkan pelaburan tidak wujud terus membimbangkan apabila jumlah kerugian direkodkan mencecah hampir RM800 juta setakat bulan lalu. Gambar kecil: Teo Nie Ching. - Gambar hiasan
Kes penipuan dalam talian membabitkan pelaburan tidak wujud terus membimbangkan apabila jumlah kerugian direkodkan mencecah hampir RM800 juta setakat bulan lalu. Gambar kecil: Teo Nie Ching. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kes penipuan dalam talian membabitkan pelaburan tidak wujud terus membimbangkan apabila jumlah kerugian direkodkan mencecah hampir RM800 juta setakat bulan lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, isu berkenaan dipandang serius oleh kementerian kerana ia melibatkan wang simpanan rakyat.

“Menurut data Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat bulan lalu, sebanyak RM799 juta kerugian direkodkan akibat penipuan dalam talian.

“Majoriti besar kes penipuan ini melibatkan pelaburan tidak wujud dan situasi ini amat membimbangkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat (PMR) Negeri Johor 2025, di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Nie Ching berkata Kempen Internet Selamat akan diperluaskan ke lebih banyak sekolah rendah, sekolah jenis kebangsaan dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini kempen berkenaan telah berjaya dilaksanakan di sembilan buah sekolah rendah.

“Kempen ini perlu digerakkan dengan lebih agresif bagi mendidik generasi muda mengenai persekitaran digital yang selamat dan terkawal.

“Untuk sekolah rendah, tumpuan diberikan kepada isu buli siber, manakala di peringkat sekolah menengah pula, fokus adalah pada perlindungan privasi peribadi.

“Di peringkat sekolah menengah dan IPT, kami turut memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk bahaya penyalahgunaan seperti 'deepfake',” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nie Ching turut memaklumkan bahawa kempen berkenaan akan menyasarkan golongan dewasa bagi meningkatkan kesedaran tentang bahaya skim cepat kaya dan pelaburan palsu yang semakin berleluasa di platform digital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!