[VIDEO] ‘Jika ada kesempatan, dakilah Jabal Nur’
MAKKAH - Jemaah haji yang mempunyai kesempatan dan masa terluang digalakkan mendaki Jabal Nur agar tidak terlepas peluang melihat bukit yang menjadi saksi turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah SAW.
Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) Tabung Haji, Dr Mohd Bakri Aziz@Saari berkata, Jabal Nur atau dikenali sebagai Bukit Cahaya menyimpan sejarah agung Islam apabila di atasnya terdapat Gua Hira, tempat Rasulullah SAW menerima wahyu pertama daripada Malaikat Jibril.
Menurutnya, terletak di utara Kota Makkah, pendakian ke Jabal Nur bukan sebahagian daripada rukun atau wajib haji, namun penuh dengan nilai kerohanian buat mereka yang menghayatinya.
“Kalau diberi peluang dan kekuatan, panjatlah Jabal Nur bukan untuk melihat-lihat sahaja tetapi untuk mengambil ibrah (pengajaran) dan merasai keinsafan.
“Kita mendaki bukan kerana ia satu kewajipan, tetapi untuk menginsafi betapa Islam dan al-Quran itu datang dengan perjuangan. Ziarah ke Jabal Nur penuh makna jika dimanfaatkan dengan jiwa yang ingin mencari erti dan cahaya dalam hidup,” katanya.
Tambah beliau, Jabal Nur bukan sekadar bukit biasa, tetapi simbol kekuatan iman dan permulaan cahaya petunjuk buat seluruh umat manusia.

“Islam dan al-Quran datang dari puncak bukit, membawa cahaya untuk kehidupan manusia. Kalau boleh, biarlah Islam dan al-Quran itu kita pasakkan dalam hati kita sekukuh Jabal Nur,” ujarnya.
Beliau berkata, Gua Hira di Jabal Nur tidak seperti gua di Malaysia kerana hanya terdapat lubang kecil dengan ruang sempit yang boleh memuatkan sekitar lima orang dewasa.
Katanya, dari satu celah kecil dalam gua itu, seseorang juga boleh melihat pemandangan Kota Makkah, satu pengalaman luar biasa bagi mereka yang berjaya menjejak ke dalamnya.
Tambahnya, sejarah mencatatkan bahawa Rasulullah SAW sering mengasingkan diri di gua berkenaan sebelum dilantik menjadi rasul.
“Selama tempoh itu, isteri baginda, Saidatina Khadijah RA tidak pernah gagal menghantar makanan dan keperluan kepada baginda, ia jelas bentuk pengorbanan dan sokongan luar biasa seorang isteri terhadap perjuangan suami.
“Sebab itu bila daki bukit ini kita nak jadikan ia sebagai satu penyuntik semangat kepada kekuatan iman dan agama malah kalau boleh kita nak jadikan itu seteguh Jabal Nur,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!