Pengumuman santai juruterbang Batik Air cuit hati penumpang

Khairul Amin sempat merakam pengumuman yang dibuat secara santai oleh juruterbang Batik Air sewaktu dalam perjalanan ke Kuching, Sarawak. Gambar kanan: Juruterbang Batik Air, Farid Rahman (dua dari kiri) meraih perhatian ramai apabila membuat pengumuman secara santai
Khairul Amin sempat merakam pengumuman yang dibuat secara santai oleh juruterbang Batik Air sewaktu dalam perjalanan ke Kuching, Sarawak. Gambar kanan: Juruterbang Batik Air, Farid Rahman (dua dari kiri) meraih perhatian ramai apabila membuat pengumuman secara santai
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang juruterbang syarikat penerbangan, Batik Air meraih perhatian bukan sahaja penumpang, namun warganet dengan pengumuman santai dan menghiburkan.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik akaun TikTok @aminkhairani, kedengaran jelas pengumuman dibuat sebelum pesawat berlepas ke Lapangan Terbang Kuching, Sarawak dipercayai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pemilik video, Khairul Amin yang berada dalam penerbangan tersebut tertarik dengan pengumuman berkenaan dan bertindak merakamnya.

"Seronok juruterbang Batik Air ini, dia ajak bersembang pula. Terima kasih Batik Air,” tulisnya di ruang kapsyen video berkenaan.

Menerusi perkongsian tersebut, turut kedengaran pengumuman dibuat secara santai seperti sedang berbual selain juruterbang sempat berseloroh dengan penumpangnya.

"Sekarang kita sedang menuju ke hujung landasan lapangan terbang yang mana kita akan berangkat nanti, di depan kita yang saya nampak ada lima buah pesawat, semua sudah ambil nombor, tak boleh potong que (barisan).

"Sini (landasan) kalau potong que, memang cari pasal. Kita akan terbang setinggi 33,000 kaki dari aras laut, kelajuan untuk hari ini tak laju, lapan batu seminit sahaja dan masa penerbangan satu jam 30 minit ke Kuching, itupun kalau tiada apa-apa hal berlaku di lintas udara nanti.

"Saya minta tuan-tuan dan puan-puan pakai tali pinggang untuk keselamatan asalkan jangan bawa balik, tali pinggang itu untuk mengelakkan kita daripada melambung ke sini, melekat ke sana jadi Cicak Man lepas itu jatuh bawah sakit," kata juruterbang itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu juruterbang yang dikenali sebagai Farid Rahman tidak melepaskan peluang mengucapkan Selamat Hari Guru yang diraikan pada 16 Mei kepada penumpang dari golongan pendidik.

Farid juga dilihat meninggalkan komen pada hantaran video tersebut.

"Terima kasih kerana sudi naik Batik Air, jumpa lagi di lain penerbangan. Senyum senyum selalu," ringkas tulisnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!