Shamsubahrin bebas tuduhan tipu kontrak KLCC

Shamsubahrin dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Jumaat atas satu pertuduhan menipu berkaitan kontrak kawalan keselamatan di KLCC melibatkan wang berjumlah RM300,000, enam tahun lalu.
Shamsubahrin dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Jumaat atas satu pertuduhan menipu berkaitan kontrak kawalan keselamatan di KLCC melibatkan wang berjumlah RM300,000, enam tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengasas Perkhidmatan Premium Big Blue Taxi, Shamsubahrin Ismail, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan menipu berkaitan kontrak kawalan keselamatan di KLCC melibatkan wang berjumlah RM300,000, enam tahun lalu.

Hakim K. Muniandy membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan Shamsubahrin, 59, bagi mengetepikan sabitan bersalah dan hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 September 2023.

Ketika membacakan keputusan, Hakim berkata, mahkamah rendah membuat dapatan bahawa kontrak berkenaan tidak wujud, sedangkan keterangan saksi-saksi menyatakan kontrak itu sebenarnya wujud tetapi dibatalkan oleh pihak KLCC.

Pembatalan kontrak, menurutnya, adalah di luar kawalan perayu (Shamsubahrin) dan tidak sepatutnya dijadikan asas untuk sabitan.

“Mahkamah Sesyen tidak mengambil kira fakta ini sebelum membuat keputusan bahawa perayu telah menipu pengadu.

“Tambahan pula, syarikat pengadu tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memenuhi kehendak prosedur pendaftaran dan gagal mengemukakan dokumen lengkap yang diperlukan.

“Bayaran RM300,000 itu pula adalah dalam bentuk komisen kepada perayu sekiranya projek berkenaan berjaya diperoleh,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa unsur 'mens rea' iaitu niat untuk melakukan kesalahan tidak dinyatakan dalam pertuduhan, sekali gus menjadikan sabitan tidak kukuh.

Katanya lagi, kekhilafan Mahkamah Sesyen dalam menilai keterangan dan prinsip undang-undang serta kecacatan pada pertuduhan itu membawa kepada ketidakadilan terhadap perayu.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, sabitan terhadap perayu adalah tidak berpaksikan kepada keterangan yang ada serta undang-undang yang terpakai.

“Rayuan dibenarkan, sabitan diketepikan dan perayu dilepaskan serta dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.

Shamsubahrin yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda turut meluahkan rasa syukur sejurus keputusan diumumkan.

Terdahulu, pada April 2021, beliau didakwa menipu seorang ahli perniagaan, Izham Ramli, 37, dengan memperdayakan mangsa supaya mempercayai bahawa beliau boleh mendapatkan kontrak kawalan keselamatan di KLCC dalam tempoh 30 hari.

Perbuatan itu menyebabkan mangsa memindahkan wang berjumlah RM300,000 ke akaun pelanggan Tetuan Muhammad Zahir, sedangkan wang itu tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan. Kejadian berlaku di sebuah restoran di KLCC pada awal Oktober 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding rayuan ini, pihak pembelaan diwakili peguam Zulkifli Awang, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah.

Kes berkenaan mula dibicarakan pada 2 November 2022 dengan lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, manakala tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan dalam prosiding bela diri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!