Rashid Asari tidak lagi Exco di Selangor: Amirudin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Bersatu Selangor Datuk Abdul Rashid Asari tidak lagi memegang jawatan sebagai Exco di Selangor.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan keputusan diambil selepas perbincangan bersama pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) negeri.

Menurutnya, keputusan berkenaan sudah disampaikan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Saya sudah bertemu dengan beliau (Abdul Rashid) selepas Langkah Sheraton bermula. Selepas pembentukan kerajaan Persekutuan kita dapati wujud pengasingan PH dan keputusan ini diambil," katanya selepas menghadiri Program Ekspo Hasil Suri Selangor sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Abdul Rashid sebelum ini memegang jawatan Exco Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan negeri.

Katanya, beberapa dirujuk termasuk situasi di Kedah dan Pulau Pinang.

"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan bahawa Bersatu bukan dari sebahagian kerajaan negeri. Rakan-rakan kita di Johor tumbang apabila Bersatu memilih bergabung parti lain.

"Di peringkat Persekutuan kerajaan PH tumbang apabila Bersatu bergabung beberapa Bebas, UMNO dan Pas. Jadi dalam perkara ini kita kena 'straight forward'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, keputusan terhadap empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor akan ditentukan dalam mesyuarat PH negeri berkenaan.

Amirudin berkata, perkara tersebut akan dirujuk kepada mesyuarat PH negeri terlebih dahulu.

"Keempat-empat ADUN tersebut telah bertemu saya dan menyatakan hasrat mereka.

"Namun, saya kena bawa perkara ini ke peringkat kepimpinan PH Selangor dan merujuk kepada kepimpinan pusat," katanya.

Sebelum ini, empat daripada lima ADUN dari Bersatu menyatakan pendirian bahawa mereka menyokong kerajaan PH di Selangor.

ADUN Bersatu itu terdiri daripada ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli; Sallehudin Amiruddin (Kuang); Harumaini Omar (Batang Kali) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).