Cuba sogok anggota polis, SPRM tahan dua warga asing

SPRM menahan dua warga asing disyaki cuba memberi sogokan RM1,000 kepada anggota polis bagi mengelak ditahan atas kesalahan memandu motosikal tanpa lesen dan nombor plat tidak lengkap, semalam. Gambar hiasan
SPRM menahan dua warga asing disyaki cuba memberi sogokan RM1,000 kepada anggota polis bagi mengelak ditahan atas kesalahan memandu motosikal tanpa lesen dan nombor plat tidak lengkap, semalam. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua warga asing disyaki cuba memberi sogokan RM1,000 kepada anggota polis bagi mengelak ditahan atas kesalahan memandu motosikal tanpa lesen dan nombor plat tidak lengkap, semalam.

Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek lelaki warga Pakistan berusia lingkungan 20-an dan 40-an itu ditahan pada 9 malam selepas diserahkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada SPRM Kuala Lumpur.

"Sebelum itu, seorang daripada suspek ditahan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) kira-kira 11.40 pagi semalam, setelah didapati memandu motosikal tanpa lesen dan nombor plat tidak lengkap.

"Lelaki itu kemudian cuba menyogok anggota polis berkenaan RM500 untuk mengelak ditahan sebelum dibawa ke IPD Sentul untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Selepas itu, menurut sumber suspek kedua datang ke IPD berkenaan dan cuba memberi rasuah RM500 kepada anggota polis yang sama dalam usaha melepaskan rakannya menyebabkan dia turut ditahan pada jam 3.30 petang semalam.

Berikutan itu, perintah reman tujuh hari hingga 19 Januari ini terhadap suspek pertama telah dikeluarkan Majistret Noorelynna Hanim Abdul Halim selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi, manakala suspek kedua dijangka akan dilepaskan hari ini dengan jaminan SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!