Bot TLDM hilang kawalan langgar bot pelancong ketika raptai LIMA '25

LANGKAWI – [DIKEMAS KINI] Latihan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) bertukar cemas apabila sebuah bot milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung dengan sebuah bot pelancong berhampiran pantai, mengakibatkan dua anggota keselamatan mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari mengesahkan insiden tersebut berlaku sekitar jam 4.34 petang pada Khamis.
Menurut beliau, bot pasukan keselamatan yang dinaiki lima pegawai dan anggota itu sedang menjalani latihan sebelum bertembung dengan sebuah bot pelancong yang berlabuh berhampiran pantai.
“Dua anggota telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut, namun tiada kecederaan melibatkan orang awam dalam insiden ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini, pihak polis masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.
Shariman menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menunggu kenyataan penuh daripada pasukan keselamatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!